GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


Manjung: Polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah dalam kejadian di Ayer Tawar, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 4 petang itu, suspek yang memandu kereta bersama isteri dan seorang anak lelakinya cuba melarikan diri, namun dikejar polis sejauh kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian sebelum ditahan.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan bersama 33 paket syabu seberat 62.5 gram yang ditemukan dalam kereta itu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kejadian berlaku ketika anggota polis dari Balai Ayer Tawar sedang melakukan rondaan cegah jenayah sebelum menahan kereta dinaiki suspek.

Bagaimanapun katanya, suspek bertindak agresif dengan melanggar hadapan kenderaan polis sebelum memecut laju keretanya melarikan diri.

Katanya, polis terpaksa melepaskan enam das tembakan ke arah tayar kereta suspek.

"Anggota mengejar kenderaan itu sejauh 800 meter sebelum berjaya menahannya. Turut ditahan isteri, 38, dan anak lelaki berusia dua tahun," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Mior Faridalathrash berkata, kejadian tidak membabitkan sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 7:52 PM