Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Anggota bomba bantuan dan pemilik gudang terpaksa menerima rawatan selepas cedera dalam kebakaran gudang perabot di Jalan Padang Temusu di sini, hari ini.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, pemilik berusia 40-an cedera di pergelangan tangan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim di sini, manakala anggota bomba menerima rawatan di klinik kesihatan kerana sesak nafas.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 12.03 tengah hari dan dua jentera serta dua kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) hadir ke lokasi.

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di gudang perabot di Jalan Padang Temusu, Sungai Petani hari ini. FOTO Ihsan JBPM.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di gudang perabot di Jalan Padang Temusu, Sungai Petani hari ini. FOTO Ihsan JBPM.

Ia masing-masing daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu dan BBP Sungai Petani, selain turut mendapat bantuan Pasukan Bomba Sukarela berhampiran.

"Kita mendapati kebakaran membabitkan gudang perabot dengan anggaran musnah sehingga 60 peratus untuk keseluruhan bangunan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada 12.49 tengah hari manakala, dua lelaki yang cedera masing-masing dibawa ke hospital dan klinik kesihatan untuk rawatan.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mei 2022 @ 4:30 PM