MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra dengan anggota TLDM ketika melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. FOTO Muhamad Lokman Khairi
MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan beramah mesra dengan anggota TLDM ketika melawat Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut. FOTO Muhamad Lokman Khairi
Muhamad Lokman Khairi

Lumut: Warga The Navy People di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, di sini meluahkan rasa gembira apabila sebanyak 2,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sedang dibaik pulih dan disenggara bagi menjamin keselesaan serta keselamatan keluarga anggota.

Pegawai Memerintah KD MALAYA, Komander Mehamad Khairun Zakaria TLDM, berkata pihak TLDM diperuntukkan RM30 juta daripada keseluruhan RM200 juta seperti diumumkan Perdana Menteri pada Julai lalu bertujuan kerja-kerja baik pulih dan senggara RKAT di seluruh negara.

Menurutnya, Pangkalan TLDM Lumut sendiri menerima peruntukan RM22 juta bagi kerja-kerja merangkumi penggantian bumbung, pembaikan paip kumbahan, pembaikan saluran air hujan, pembaikan paip air bersih, pembaikan peralatan kelengkapan dapur serta bilik air dan kerja-kerja mengecat blok bermula awal September lalu.

"Setakat ini kemajuan projek (progress) sudah mencapai tahap 45 peratus dan dijangka siap sepenuhnya 15 November depan.

"TLDM turut menubuhkan satu jawatankuasa khas penyeliaan projek yang bertindak memantau seterusnya melaporkan perkembangan projek kepada Markas Tentera Laut agar kualiti kerja kontraktor memenuhi piawaian dan projek siap mengikut tempoh yang dijadualkan.

"Insya-Allah, hasil kerja-kerja baik pulih dan senggaraan RKAT yang berusia sekitar 40 tahun ini bakal memberi manfaat kepada 12,000 penghuni terdiri daripada anggota dan keluarga di dalam Pangkalan TLDM Lumut," katanya.

Beliau berkata, peruntukan tambahan daripada kerajaan itu amat besar ertinya kepada warga TLDM seterusnya meningkatkan moral ketumbukan itu menjalankan tugas demi negara.

Bagi anggota Laskar Kanan Juruplot Taktikal Peperangan (JTP), Muhammad Amir Amirul Anuar, 36, beliau amat menghargai usaha kerajaan yang menyediakan kediaman selesa.

Beliau yang mempunyai seorang anak penghidap kanser otak tahap empat meluahkan rasa lega dengan penukaran tandas cangkung kepada tandas duduk yang menurutnya, lebih memudahkan pengurusan anaknya.

"Anak saya perlukan perhatian khusus setiap masa kerana badannya lemah, jadi kerja senggara termasuk baik pulih tandas ini memudahkan pengurusan harian anak dan isteri saya kerana risiko kemalangan dapat dikurangkan.

"Sebelum ini, blok yang saya huni ada masalah tangki air, apabila ada masalah air maka akan ada catuan. Tapi alhamdulillah ia sudah dibaik pulih dan ditukar ganti. Kerja-kerja baik pulih dan senggara ini akan menjamin tahap keselesaan dan keselamatan penghuni sentiasa di tahap terbaik," katanya.

Isteri anggota TLDM, Nor Khalisah Anuar Idris, 27, menyifatkan pembaikan itu membuatkan dia dan dua anak kecilnya berasa lebih selamat di rumah apabila suami, Laskar Kelas 1 (PWP) Mohd Adib Zulfadzli Anuar, 27, keluar berlayar semasa tugasan.

"Sebelum ini selalu terjadi paip singki bocor, sehingga bergenang air di dapur, jadi saya perlu mengeringkan lantai dapur selesai aktiviti memasak.

"Namun, sekarang ia sudah dibaiki dan pasti tidak akan berulang lagi. Terima kasih kepada Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Kementerian serta Pengurusan Tertinggi TLDM yang mengambil berat terhadap kebajikan dan kesejahteraan keluarga anggota," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 9:24 AM