FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi hari ini, menolak saman pemula difailkan 10 mangsa dan waris penuntut yang terkesan daripada pengambilan vaksin Covid-19 bagi mendaftarkan award semakan kehakiman yang diberikan kepada mereka oleh Mahkamah Timbang Tara.

Award semakan kehakiman itu berkaitan tindakan undang-undang yang akan diambil pemohon terbabit di mahkamah sivil bagi mencabar keputusan kerajaan menggubal dasar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mereka mendakwa, pelaksanaan PICK itu menyebabkan kematian pemohon (yang memohon melalui waris si mati), kesan advers susulan imunisasi (AEFI) dan diskriminasi terhadap mereka yang menolak suntikan.

Dalam keputusannya hari ini, Hakim Datuk Amarjeet Singh berkata, Mahkamah Timbang Tara tiada bidang kuasa untuk mendaftarkan award semakan kehakiman.

Bagaimanapun, hakim mencadangkan kepada pemohon supaya mengemukakan permohonan semakan kehakiman secara terus ke Mahkamah Tinggi dengan mengikut prosedur yang betul.

"Semakan kehakiman hanya oleh Mahkamah Tinggi tidak kisah secara ex-parte (sebelah pihak) atau inter-parte (kedua-dua pihak). Mengikut apa yang kamu (pasukan pembelaan) beritahu saya, ada individu yang menerima kesan (akibat pengambilan vaksin).

"Oleh itu, kamu boleh failkan saman sivil bagi menuntut kerugian berkaitan vaksin. Tetapi sekarang kamu mahu saya daftarkan award bagi membolehkan pendengaran dibuat di Mahkamah Tinggi.

"Saya tidak boleh daftarkan award itu. Pengantara tiada kuasa berkaitan award ini. Awak tidak kehilangan apa-apa lagi dan boleh failkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi," katanya.

Dalam prosiding hari ini, penuntut dan waris mereka diwakili peguam, Mohd Zainuddin Abu Bakar, manakala Peguam Kanan Persekutuan, Zureen Elina Mohd Dom hadir sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).

Pada 25 April lalu, sekumpulan individu mewakili beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bagi mendaftarkan merit dan semakan kehakiman untuk menuntut hak rakyat yang terkesan akibat vaksin.

NGO itu termasuk Persatuan Prihatin Anak Jati Johor (PPAJJ), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Pertubuhan Kebajikan Hal Ehwal Islam Malaysia.

Antara isu dibangkitkan ialah AEFI, diskriminasi terhadap golongan tidak mengambil vaksin dan keraguan terhadap kandungan serta kesan sampingan vaksin.

Terdahulu ketika prosiding, Mohd Zainuddin memberitahu mahkamah, ex-parte award yang diberikan oleh Mahkamah Timbang Tara bagi membolehkan pihaknya mengemukakan permohonan semakan kehakiman.

Mangsa yang terkesan membabitkan kes kematian berikutan kesan sampingan dan diskriminasi di tempat kerja seperti dipecat akibat tidak mengambil vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 5:25 PM