RAKAMAN kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan sebuah kereta Perodua Axia dipandu melawan arus di Jalan SS4, Petaling Jaya yang tular di media sosial.
RAKAMAN kamera papan pemuka (dashcam) menunjukkan sebuah kereta Perodua Axia dipandu melawan arus di Jalan SS4, Petaling Jaya yang tular di media sosial.
Nurul Hidayah Bahaudin

Petaling Jaya: Polis sedang mengesan individu yang memandu kereta secara melawan arus dalam kejadian di Jalan SS4 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya mengesan satu video tular di media sosial mengenai kejadian itu jam 9.30 pagi tadi.

"Dalam video tular berkenaan, sebuah kereta Perodua Axia dilihat dipandu secara melawan arus di lokasi terbabit.

"Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat satu laporan berhubung kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, pemilik rakaman kamera papan pemuka (dashcam) yang merakam kejadian itu diminta tampil ke IPD Petaling Jaya bagi membantu siasatan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Sarjan Mohd Rohaize Abd Aziz di talian 017-3399415 bagi membantu siasatan.

"Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mencegah kemalangan.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan dan memuatnaik, video atau gambar yang boleh menimbulkan kegusaran pengguna jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2022 @ 5:15 PM