Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Terengganu tidak akan menyertai Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri bersama Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tiada sebarang perbincangan lanjut mengenai perkara itu walaupun PAAB cuba berbincang dengan kerajaan negeri.

Beliau berkata, arahan juga sudah diberikan kepada semua agensi kerajaan negeri supaya tidak berbincang apa-apa dengan pihak yang berkenaan.

"Sebab keputusan kita telah buat sebelum ini bahawa kita tidak akan menyertai ke PAAB dan aset-aset kerajaan negeri masih lagi dengan kerajaan negeri.

"Jadi, tidak ada apa-apa yang nak dibincangkan dan saya pun bagi tahu dengan Menteri KASA (Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) semalam semasa saya jumpa dengan dia di sambutan hari raya.

"(Ketika itu), saya kata tiada perbincangan lanjut buat masa ini, tetapi kalau PAAB cuba hantar surat, terpulang pada dia (kerana) kita tak boleh halang pihak lain untuk berhubung dengan kerajaan negeri tetapi di peringkat kerajaan negeri memang tiada perbincangan lanjut," katanya.

AHMAD Samsuri semasa sidang media pada Majlis Sambutan Jubli Emas Yayasan Terengganu di Perkarangan Yayasan Terengganu. FOTO Ghazali Kori
AHMAD Samsuri semasa sidang media pada Majlis Sambutan Jubli Emas Yayasan Terengganu di Perkarangan Yayasan Terengganu. FOTO Ghazali Kori

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Jubli Emas Yayasan Terengganu di pekarangan Yayasan Terengganu, di sini, hari ini.

Ketika ini, Terengganu menjadi satu-satunya negeri di Semenanjung yang belum menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri bersama PAAB.

Pada 25 Mei lalu, perbincangan antara PAAB bersama kerajaan negeri berkaitan perkara itu masih lagi berjalan.

Ketika itu, Tuan Ibrahim memaklumkan banyak manfaat bakal diperoleh menerusi perjanjian itu termasuk menyelesaikan masalah kemudahan bekalan air yang uzur.

Pada masa sama, kerajaan negeri sebelum ini juga dilaporkan belum memutuskan untuk menyertai PAAB seperti negeri-negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau Terengganu, Dr Mamad Puteh dilaporkan berkata, pihaknya masih mengkaji perkara itu kerana terdapat syarat-syarat yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 4:49 PM