FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Individu dewasa berisiko dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) walaupun kes yang direkodkan lebih membabitkan golongan kanak-kanak.

Pakar Perubatan Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, HFMD sudah dianggap endemik dan sentiasa berada di persekitaran masyarakat sepanjang masa.

Menurutnya, jika penularan tidak terkawal ia bukan saja mudah menjangkiti kanak-kanak malah individu dewasa juga berisiko berdepan masalah sama.

"Ada individu dewasa yang menganggap simptom HFMD seperti demam, selesema, batuk dan ruam sebagai penyakit biasa yang tidak memerlukan rawatan khusus.

"Ini menyebabkan ada yang keluar dan berada di lokasi awam untuk menjalani aktiviti harian tanpa sedar mereka adalah pembawa penyakit berjangkit itu.

"Ruam pada bahagian tangan, kaki dan mulut pula dianggap infeksi penyakit kulit biasa sedangkan ia berkemungkinan HFMD," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, jangkitan HFMD yang meningkat mendadak sejak beberapa minggu lalu boleh terus konsisten jika langkah pencegahan tidak diambil.

Katanya, penutupan sekolah dan langkah pengasingan perlu dibuat agar penularan dalam kalangan masyarakat dapat dihentikan.

"HFMD ini berisiko menyebabkan serangan pada jantung, paru-paru, otak dan selaput otak sehingga boleh menyebabkan maut.

"Masyarakat harus berjaga-jaga dan mengambil serius peningkatan penularan penyakit ini kerana ia tidak mempunyai ubat khusus," katanya.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumla kes HFMD di negara meningkat sebanyak 20 kali ganda dengan 47,209 kes dilaporkan setakat 21 Mei lalu berbanding hanya 2,237 kes bagi tempoh sama tahun lalu dengan Selangor merekodkan kes tertinggi.

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan prasekolah iaitu 711 wabak atau 61 peratus daripada kes keseluruhan, diikuti rumah persendirian dengan 407 wabak atau 35 peratus dan pusat jagaan kanak-kanak 42 wabak atau tiga peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 1:59 PM