Gambar hiasan
Gambar hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jurulatih wushu yang ditahan kerana disyaki melakukan gangguan seksual ke atas atlet bawah umur pada 11 Mei lalu akan dihadapkan ke mahkamah, esok.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, lelaki berusia 31 tahun itu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada 9 pagi mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Katanya, di bawah akta itu, suspek berhadapan 10 pertuduhan.

"Manakala, dia menghadapi satu pertuduhan mengikut Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atas kesalahan orang yang mempunyai hubungan amanah iaitu jurulatih telah melakukan kesalahan seksual terhadap mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan bapa mangsa membuat laporan pada 10 Mei lalu, mendakwa anaknya mengalami gangguan seksual dengan perbuatan dilakukan jurulatih itu di rumahnya antara 11 Februari lalu hingga 19 Februari lalu.

Pada 11 Mei lalu, polis menahan seorang jurulatih wushu di rumahnya di Taman Kajang Mewah selepas dipercayai melakukan amang seksual ke atas mangsa yang berusia 13 tahun.

Sementara itu, polis hari ini turut mengesahkan suspek disyaki terbabit tiga kes sama, termasuk dua dilapor di Kuala Lumpur.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, laporan menyebut kejadian di Cheras dan Brickfields, dengan mangsa masing-masing berusia 12 tahun dan 13 tahun, mendakwa dicabul suspek pada April lalu dan antara 2020 hingga 2022.

"Laporan dibuat pertengahan bulan ini dan siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Sehingga kini, suspek disiasat terhadap empat kes cabul dan modus operandinya adalah memperdaya mangsa dengan mengajak mereka menaiki kereta untuk bersiar-siar dan mengambil kesempatan mencabul dalam kenderaan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 8:45 PM