SAIFUDDIN Nasution bersama Sivakumar ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
SAIFUDDIN Nasution bersama Sivakumar ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan menjadi pengendali utama bagi penjajaran semula fungsi pengurusan pekerja asing di negara ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata namun Kementerian Sumber Manusia (KSM) kekal berperanan dalam aspek keakuran kepada dasar perburuhan, penentuan kelayakan kuota dan memuktamad kerjasama dengan negara sumber.

"Penjajaran ini bermaksud tiga per empat daripada proses pengambilan pekerja asing akan terletak di bawah bidang kuasa atau kawal selia KDN.

"Proses daripada majikan memohon pekerja, kebenaran awal memohon kuota sampailah kepada pekerja asing itu dibawa masuk, tiga per empat daripada keseluruhan proses itu adalah dibawah KDN.

"Pemegang taruh seperti majikan, industri, persatuan serta pekerja asing tidak perlu khuatir akan perubahan dasar ini yang dijangka akan bermula pada 15 Januari ini.

"Hal ini kerana penjajaran fungsi ini tidak akan menjejaskan tatacara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada memandangkan fokus kepada penjajaran adalah kepada tatakelola pengurusan pekerja asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sidang media selepas Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Selain itu Saifuddin berkata, KSM kekal berperanan dalam proses pertama iaitu mengenal pasti negara sumber, kedua mengadakan apa-apa perjanjian dengan negara sumber bagi mendapatkan sumber tenaga pekerja asing dan aspek urus kendali dalam menentukan kuota diperlukan setiap industri, seperti diputuskan Jemaah Menteri sebelum ini.

"Kita harap (penjajaran) ini akan membuatkan proses pengambilan pekerja asing dilaksanakan kurang 30 hari. Kita lihat ruang untuk tempoh itu dipendekkan.

"Antara lain, kelonggaran itu akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan bagi menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat-syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan dan tapisan keselamatan," katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri pada 7 dan 21 Disember lalu bersetuju menjajarkan semula peranan pengurusan pekerja asing dan mempertimbangkan kelonggaran yang wajar bagi tujuan penggajian pekerja asing di Malaysia.

"Keputusan itu bertujuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara ke tahap yang lebih baik pada tahun 2023," katanya.

Beliau berkata mesyuarat pada hari ini turut bersetuju dengan cadangan kelonggaran syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing kepada tahap yang paling optimum bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dengan kepentingan keselamatan negara.

Katanya, kemasukan pekerja asing itu dijangka akan memberikan kesan positif kepada ekonomi negara.

"Prospek ekonomi bagi suku pertama tahun 2023 boleh meningkat sebanyak satu peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekiranya kemasukan pekerja asing dipercepatkan untuk memenuhi keperluan sektor-sektor berkaitan," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, sehingga 31 Disember lalu, terdapat 1,459,196 orang pekerja asing yang memegang pas lawatan kerja sementara (PLKS) di Malaysia.

"Sektor perkilangan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 538,148 orang diikuti pembinaan (315,932) dan perkhidmatan (221,621).

"Jumlah ini termasuk 316,446 pekerja asing baharu yang digajikan pada tahun lalu selain tiga warganegara tertinggi pekerja asing di Malaysia adalah Bangladesh, Indonesia dan Nepal," katanya.

Beliau berkata, pada tahun lalu sebanyak 1,606,724 permohonan kuota pekerja asing diterima dengan 676,070 diluluskan dan daripada jumlah itu, sebanyak 635,234 sudah dibayar levi.

"Daripada jumlah kuota yang telah selesai pembayaran levi, bilangan kuota yang telah memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah sebanyak 463,255 dan jumlah yang diluluskan adalah 452,963," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 8:34 PM