Tinjauan orang ramai membeli ayam berikutan kekurangan bekalan ayam segar seluruh negara di Pasar Borong Selangor. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Tinjauan orang ramai membeli ayam berikutan kekurangan bekalan ayam segar seluruh negara di Pasar Borong Selangor. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Saadiah Ismail


Kuala Lumpur: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) akan menyegerakan proses penilaian pemberian subsidi ayam melalui Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (DVS) kepada penternak yang mengemukakan permohonan.

Mafi dalam satu kenyataan berkata, penternak yang memenuhi syarat dan mendapat kelulusan pembayaran akan memperoleh tuntutan dalam tempoh dijanjikan.

Menurut kenyataan itu, Mafi juga akan terus mengadakan perjumpaan dan libat urus dengan semua pihak industri yang terbabit langsung dalam rantaian pengeluaran bekalan ayam bagi memastikan kelangsungan pengeluaran bekalan.

"Mafi memandang serius terhadap isu-isu yang mengancam sekuriti makanan negara dan sentiasa berusaha dengan pihak berkepentingan dalam menstabilkan kembali bekalan.

"Ini bagi menjamin bekalan ayam mencukupi untuk keperluan negara sepanjang masa," menurut kenyataan itu, di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan akhbar berhubung isu 'kartel' ayam yang bertindak memberhentikan operasi ladang.

Sehubungan itu, pemeriksaan dilakukan DSV terhadap pihak syarikat ladang ayam terbabit dan mendapati laporan itu kurang tepat.

Mafi menjelaskan, pihak syarikat ladang ayam terbabit memberikan jaminan bahawa ladang-ladang mereka akan terus membekalkan ayam untuk keperluan pasaran tempatan, khususnya ayam diproses sama ada dalam bentuk ayam bulat, ayam 'super', ayam 'standard' serta keratan ayam.

"Pemeriksaan yang dilakukan oleh DVS juga mendapati kebanyakan ladang ayam bersedia untuk membekalkan ayam.

"Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ada dalam kalangan ladang-ladang ayam menghadapi masalah kenaikan berat badan ayam yang terganggu akibat kualiti dedak makanan ayam, jangkitan penyakit, keadaan cuaca panas melampau hingga mengganggu pembesaran ayam di ladang terutama reban sistem terbuka," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 5:58 PM