LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Lelaki warga emas yang meninggal dunia di puncak Gunung Yong Belar, dekat sini, akan dibawa turun dengan helikopter pagi esok.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis akan menyelaras dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak untuk menjalankan operasi menurunkan mayat mangsa dari tempat kejadian.

"Mengambil kira faktor bentuk muka bumi dan keadaan cuaca yang mencabar di tempat kejadian, pihak JBPM akan mendapatkan bantuan pesawat helikopter dari ibu pejabat JBPM untuk mengeluarkan mayat mangsa esok pagi," katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Mior Faridalathrash berkata, polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut (SDR).

Menurutnya, lokasi kejadian terletak kira-kira lapan jam pendakian dari kaki Gunung Korbu berdekatan loji rawatan air Ulu Kinta.

"Ketika kejadian, sekumpulan pendaki gunung terdiri daripada 11 lelaki dan tiga perempuan yang memiliki kebenaran memasuki hutan simpanan kekal menjalankan aktiviti mendaki gunung sehingga ke puncak Banjaran Titiwangsa berhampiran Kem Kuali.

"Namun, seorang ahli kumpulan lelaki berusia 66 tahun berasal dari Kuala Lumpur dikatakan mengalami kepenatan lalu meninggal dunia di puncak gunung,"

katanya.

Mior Faridalathrash berkata, memandangkan tiada liputan talian perkhidmatan telekomunikasi di dalam kawasan hutan, ahli kumpulan berkenaan mengambil keputusan turun ke kaki gunung bagi melaporkan kejadian ini kepada pihak polis.

Katanya, sebarang maklumat mengenai kejadian orang ramai boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Pemangku Ketua Polis Balai Tanjung Rambutan, SM Ahmad Tajuddin Ros di talian 011-24201660 untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan:

  • Pendaki warga emas maut dipercayai penat melampau
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 10:19 PM