GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang pegawai kanan sebuah jabatan kerajaan negeri dan seorang pesara kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas dipercayai meminta rasuah berjumlah RM700,000.

Wang berkenaan diperoleh daripada sebuah syarikat kilang sawit sebagai balasan melindungi aktiviti pemalsuan pengisytiharan cukai jualan minyak sawit mentah setiap bulan kepada Kementerian Kewangan Sabah (MOF).

Menurut sumber, tindakan kedua-dua suspek menyebabkan kerugian jutaan ringgit kepada kerajaan Sabah.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir di pejabat SPRM Sabah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

"Kedua-dua suspek ditahan selama 24 jam untuk siasatan lanjut dan dijangka permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu esok.

"SPRM tidak menolak kemungkinan ada beberapa lagi tangkapan susulan akan dibuat dalam masa terdekat selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mei 2022 @ 2:37 PM