Keadaan kereta dan motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam. FOTO PDRM
Keadaan kereta dan motosikal yang terbabit kemalangan di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam. FOTO PDRM
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Gajah: Seorang remaja maut manakala rakannya cedera selepas motosikal dinaiki mereka melanggar kereta ketika keluar beraya dalam kejadian di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, di sini, petang semalam.

Kejadian jam 5.30 petang itu menyebabkan mangsa, Nurul Shafeena Mohd Hasmawi maut di tempat kejadian selepas Yamaha 135LC ditunggang rakannya, Nurul Atiqah Musa melanggar Toyota Corolla dipandu pesara tentera berusia 77 tahun.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat di Kuala Sungai Baru dan dipercayai keluar beraya.

Menurutnya, motosikal remaja terbabit dari arah Pekan Kuala Sungai Baru menghala ke Kuala Linggi, manakala kereta membelok dari simpang kedai runcit untuk ke Pekan Kuala Sungai Baru.

"Kemalangan berlaku apabila motosikal itu melanggar bahagian hadapan kereta yang sedang membelok.

"Pelanggaran itu menyebabkan pembonceng motosikal tercampak ke hadapan sejauh 15 meter hingga parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Penunggang motosikal mengalami kecederaan di kaki dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka dan keadaannya stabil," katanya dalam kenyataan.

Arshad berkata, pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati keadaan jalan lurus, dua hala dan mempunyai simpang untuk kedai runcit manakala keadaan cuaca adalah baik dan tidak hujan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mei 2022 @ 9:55 AM