Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Suasana di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di sini, kecoh apabila seekor ular sawa ditemukan melingkar di bahagian enjin sebuah kereta ketika pemeriksaan, semalam.

Kehadiran ular sawa sepanjang 2.5 meter dengan berat hampir 70 kilogram itu disedari 10 pagi apabila pemilik kereta Proton Wira membuka but depan kenderaan terbabit.

Pelanggan, Yuzaimi Mohd Yusof, 48, yang juga runner berkata, dia berada di bahagian lain untuk pemeriksaan lori yang dibawanya sebelum terdengar bunyi bising di bahagian pemeriksaan kereta.

"Saya dapat mengagak mungkin ada jumpa ular ketika pemeriksaan kenderaan kerana sepanjang 10 tahun menjadi runner, sudah kerap berlaku kejadian itu.

"Sebaik mendekati, memang sah ada ular sawa dalam but kereta yang bersembunyi di celah enjin. Semua yang ada di situ tidak berani untuk mendekati kereta itu apatah lagi cuba mengeluarkannya.

"Berbekalkan sedikit keberanian dan pengalaman, saya cuba tarik reptilia itu serta menolaknya dengan kayu agar ia keluar menerusi bawah kereta dan cubaan itu berjaya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, proses mengeluarkan ular sawa itu mengambil masa kerana ia bertindak balas dengan agresif termasuk cuba menggigit tangannya.

Katanya, ular sawa itu dialihkan dengan bantuan kakitangan Puspakom bagi meneruskan urusan pemeriksaan kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 5:16 PM
ULAR sawa yang bersembunyi di enjin kereta. FOTO ihsan Yuzaini Mohd Yusof
ULAR sawa yang bersembunyi di enjin kereta. FOTO ihsan Yuzaini Mohd Yusof