ANTARA sekolah terjejas akibat banjir di Sabah. FOTO ihsan Jabatan Pendidikan Sabah
ANTARA sekolah terjejas akibat banjir di Sabah. FOTO ihsan Jabatan Pendidikan Sabah
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sebanyak 24 sekolah termasuk sebuah sekolah menengah ditutup akibat banjir di Tenom dan Beaufort, hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, penutupan itu membabitkan seramai 4,526 murid dan pelajar serta 474 guru.

Katanya, daerah Beaufort mencatat sekolah paling banyak ditutup sama ada disebabkan kawasan sekolah dinaiki air atau laluan terjejas akibat banjir.

"Sebanyak 17 sekolah ditutup di Beaufort hari ini termasuk sebuah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah (SM) St Paul, manakala tujuh sekolah ditutup di Tenom.

"Sekolah rendah yang ditutup di Beaufort ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lian Hwa, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Pekan Membakut, SK Bangkalalak dan SK Kabajang.

"Selebihnya ialah SK Batu 60, SK Batandok, SK St John, SK St Paul, SK Luagan, SK Klias Baru, SK Garama, SK Mempagar, SK Biah Batu 65, SK Suasa dan SK Lupak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi daerah Tenom, katanya, sekolah yang ditutup ialah SK Gumisi, SK Ladang Sapong, SJKC Yuk Syn, SJKC Pada, SK Inubai, SK Sumambu dan SK Mandalom.

Mistirine berkata, semua sekolah yang ditutup disebabkan paras air yang semakin naik atau beberapa laluan tidak dapat dilalui semua jenis kenderaan.

Sebuah sekolah di Tenom iaitu SK Mandalom ditutup kerana dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) untuk mangsa banjir.

"Bagi sekolah yang ditutup, semua murid akan menjalani pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) sehingga sekolah kembali di buka," katanya.

Setakat jam 3 petang tadi, seramai 218 mangsa banjir dipindahkan di daerah Beaufort selepas lebih 50 kampung dinaiki air akibat limpahan air Sungai Padas sejak semalam.

Paras sungai berkenaan mencatat bacaan 9.34 meter setakat jam 3 petang tadi, masih melebihi paras bahaya 8.7 meter walaupun menunjukkan penurunan berbanding 9.6 meter pada jam 6 pagi tadi.

Di Tenom, dilaporkan beberapa PPS turut dibuka di daerah itu bagi menempatkan penduduk terjejas berikutan banjir yang juga disebabkan limpahan air Sungai Padas dan Sungai Pegalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 4:37 PM