Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Dua pemuda dari Sungai Bakap, dekat sini, terkandas di Thailand sejak Julai lalu selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan menjanjikan pendapatan lumayan di negara jiran itu.

Ibu kepada mangsa, Por Sai Yeon, 49, berkata, anaknya, Lim Zi Xin, 20, dan rakannya Teoh Chi Peng, 20, turut diminta membayar 70,000 yuan (RM45,627) jika mereka ingin dilepaskan majikan mereka dan jumlah itu tidak termasuk kos untuk pulang ke tanah air.

"Saya dan suami akan hubungi anak setiap hari dan dia hanya dapat curi-curi hantar mesej pesanan suara kerana gerak-gerinya sentiasa diperhatikan. Dia juga terpaksa bekerja lebih 12 jam sehari iaitu dari 10 malam hingga 2 petang keesokannya.

"Saya sendiri tidak pasti dia bekerja sebagai apa di sana. Tetapi ia membabitkan komputer dan sistem dalam talian," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma MCA Pulau Pinang, di sini, hari ini.

POR ketika sidang media di Wisma MCA Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong
POR ketika sidang media di Wisma MCA Pulau Pinang. FOTO Mikail Ong

Difahamkan, berdasarkan iklan pekerjaan terbabit, majikan mangsa disyaki menjalankan perniagaan berasaskan aktiviti perjudian atas talian yang menawarkan gaji serendah RM8,000 hingga RM10,000.

Por berkata, selepas 'kehilangan' anak kedua dari lima beradik itu, dia mengalami tekanan emosi, sementara suaminya, Lim Soon Peng, 53, hanya bekerja sebagai tukang cat dan tidak mampu membayar jumlah wang yang diminta.

Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Ooi Teik Liang, berkata beliau mendapati pihak yang menawarkan pekerjaan berkenaan masih aktif menyiarkan iklan mencari pekerja melalui laman Facebook.

"Saya ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan tawaran pekerjaan meragukan sebegini dan pihak kami akan merujuk kes ini kepada pihak berkenaan untuk membantu membawa mangsa terbabit pulang ke pangkuan keluarga mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 4:14 PM