Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: "Saya sangka bunyi bising di luar rumah sebab budak-budak main mercun tetapi apabila keluar alangkah terkejutnya bila nampak mereka (mangsa) berlari ke arah rumah saya dalam keadaan berlumuran darah menangis meminta tolong," kata R Sumathi.

R Sumathi,44 yang menetap di Taman Cenderawasih, Jawi di sini sedang berehat di dalam rumah sebelum keluar kerana terdengar bunyi bising yang terlalu kuat.

"Apabila saya keluar mangsa-mangsa itu berlari ke arah rumah saya sambil menangis dan menjerit memaklumkan bahawa berlaku kejadian gas meletup di rumah mereka.

"Lebih mengejutkan, mangsa sekeluarga termasuk dua kanak-kanak berlumuran darah dengan kulit yang hampir tersiat berada di hadapan rumah saya.

"Saya menghantar mereka ke Hospital Sungai Bakap (HSB) dengan bantuan jiran lain sebelum dimaklumkan kesemua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP)," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, empat rumah dilaporkan mengalami kerosakan ekoran kejadian letupan gas memasak berkenaan.

Bagi Mohd Hashim Ahmad, 41 yang rumahnya mengalami kerosakan memaklumkan ketika kejadian itu dia berada di dalam bilik selepas selesai menunaikan solat Isyak, manakala isterinya sedang membantu anak lelakinya mengulangkaji pelajaran di ruang tamu.

"Saya kemudian keluar selepas terdengar letupan yang sangat kuat seolah-olah gempa bumi dan terkejut melihat keadaan dapur, siling dan ruang tamu berterabur dengan kesan-kesan runtuhan.

"Selepas itu, saya pergi mendapatkan isteri serta anak yang sudah menggigil ketakutan untuk keluar selamatkan diri," katanya

Jelasnya, dia dimaklumkan bahawa kejadian itu bermula dari sebuah rumah jirannya yang pada ketika itu kesemua penghuni rumah terbabit baharu sahaja pulang ke kediaman mereka.

"Masa awal-awal itu saya tidak tahu apa puncanya sebelum saya nampak keadaan jiran saya yang berlumuran darah.

"Ketika itu jiran saya (terdiri daripada lima penghuni) baru sahaja pulang dan ketika salah seorang daripada mereka buka pintu terus berlaku letupan berkenaan dipercayai berpunca daripada kebocoran gas memasak," katanya.

Menurutnya, dia menganggarkan mengalami kerugian hampir RM30,000 susulan kejadian itu dan akan membuat laporan polis bagi tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mei 2022 @ 2:20 PM
MOHD Hashim Ahmad, 41, bahagian dapur rumahnya yang rosak teruk kesan akibat dipercayai letupan rumah jirannya di Taman Cenderawasih, Jawi di sini. FOTO Danial Saad
MOHD Hashim Ahmad, 41, bahagian dapur rumahnya yang rosak teruk kesan akibat dipercayai letupan rumah jirannya di Taman Cenderawasih, Jawi di sini. FOTO Danial Saad