NILAI bakul pengguna menurun apabila pembeli berhati-hati dalam berbelanja dan hanya membeli keperluan asas berbanding membeli barangan yang tidak perlu. FOTO GHAZALI KORI
NILAI bakul pengguna menurun apabila pembeli berhati-hati dalam berbelanja dan hanya membeli keperluan asas berbanding membeli barangan yang tidak perlu. FOTO GHAZALI KORI
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tingkah laku pembelian pengguna di negara ini menunjukkan anjakan penurunan apabila inflasi yang disebabkan terutama oleh harga komoditi tinggi, memberi tekanan kepada perbelanjaan isi rumah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, peningkatan harga minyak dunia dan konflik antara Rusia dan Ukraine dilihat sebagai punca utama yang menjejaskan rantaian bekalan dan mencetuskan kesan riak di seluruh ekonomi global.

Ia berkata pada Mac, Indeks Harga Pengguna (IHP) negara meningkat secara sederhana sebanyak 2.2 peratus kepada 125.6 berbanding 122.9 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, berikutan peningkatan inflasi makanan.

IHP digunakan untuk mengkaji purata wajaran harga kumpulan barangan dan perkhidmatan pengguna.

Inflasi Malaysia, seperti yang diukur oleh IHP, melepasi purata inflasi di Malaysia bagi tempoh Januari 2011 hingga Mac 2022 iaitu 1.9 peratus.

Menurut pengarah serantau Lulu Hypermarket, Asif Moidu Ahamed nilai bakul pengguna menurun apabila pembeli berhati-hati dalam berbelanja dan hanya membeli keperluan asas berbanding membeli barangan yang tidak perlu.

"Kita boleh melihat bahawa strategi membeli pengguna sudah berubah. Mereka kini sangat berhemat dan membeli hanya barangan yang perlu seperti sayur-sayuran, buah-buahan, ikan atau ayam," katanya kepada Bernama.

Beliau juga melihat bahawa pelanggan membeli dalam kuantiti yang berkurangan yang akan menjejaskan perolehan runcit.

Selain itu, Asif berkata, senario pasaran semasa yang menyaksikan banyak jenama antarabangsa menawarkan tawaran pengurangan harga untuk menarik pelanggan, membuktikan bahawa trend membeli barang bernilai berubah dan pengguna sangat memilih dalam pembelian mereka.

Setiausaha Agung Persatuan PKS Malaysia, Chin Chee Seong berkata, perang Rusia-Ukraine memberi impak kepada rantaian bekalan yang seterusnya meningkatkan harga barangan.

"Isu itu diburukkan lagi dengan peningkatan kos logistik berikutan harga minyak yang tinggi yang memberi tekanan terhadap sektor pembuatan.

"Perang itu banyak memberi kesan kepada kita dari segi rantaian bekalan kita, tetapi harga komoditi tinggi terutama menambahkan lagi kos pembuatan pengeluaran serta kos produk," jelasnya.

Sementara itu, Profesor Ekonomi Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng dalam memberikan pandangan bagaimana untuk menangani harga barangan makanan pengguna yang tinggi berkata pengguna isi rumah kurang terkesan oleh inflasi dengan kenaikan gaji sebanyak lima hingga enam peratus.

"Jangkaan masa bagi harga barangan kembali normal masih belum dapat diramal bergantung kepada tempoh konflik Rusia-Ukraine serta sekatan yang dikenakan ke atas Rusia yang menjejaskan bekalan komoditi utama global," katanya.

Yeah juga mengingatkan kepada pengguna bersiap sedia untuk berdepan dengan kenaikan harga barangan kerana ia dijangka kekal tinggi sepanjang tahun ini.

"Apa yang penting adalah kita perhatikan bahawa akan ada inflasi yang tinggi tahun ini," katanya.

Di Amerika Syarikat, sebagai contoh, CNBC melaporkan indeks harga pengguna meningkat 8.5 peratus pada Mac, naik sedikit berbanding jangkaan dan pada kadar tertinggi sejak 1981.

Sementara itu, Yeah menggesa kerajaan memastikan tidak berlaku kekurangan barangan pengguna dan rantaian bekalan kekal kukuh bagi mengelakkan peningkatan mendadak harga barangan.

"Mustahak untuk memastikan rantaian bekalan kekal kukuh dan sebarang tekanan akibat daripada penawaran dan permintaan boleh diukur sama ada menerusi subsidi atau mengembangkan penawaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2022 @ 6:01 AM