Pelbagai bunga api dan mercun dirampas  dalam serbuan  di sebuah premis di daerah ini. FOTO IHSAN POLIS
Pelbagai bunga api dan mercun dirampas dalam serbuan di sebuah premis di daerah ini. FOTO IHSAN POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Helah lelaki menyimpan mercun dan bunga api tanpa permit di sebuah kedai mengundang padah selepas diberkas dalam serbuan, semalam.

Suspek berusia 35 tahun itu ditahan menerusi pemeriksaan di sebuah pasar di pusat bandar raya ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, berdasarkan maklumat, pihaknya melakukan serbuan di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan suspek di hadapan sebuah kedai.

Menurutnya, pihaknya yang curiga dengan tindak-tanduk suspek menahannya sebelum membuat pemeriksaan lalu menemui pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM3,000.

"Ketika soal siasat, suspek gagal mengemukakan lesen atau permit untuk menjual mercun dan bunga api berkenaan.

"Suspek memaklumkan mendapat bekalan daripada seorang lelaki tidak dikenali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata, seramai 10 individu ditahan sepanjang Ramadan ini kerana terbabit dalam aktiviti penjualan mercun dan bunga api dengan dua daripadanya sudah didakwa di mahkamah.

Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak memiliki, menyimpan atau menjual mercun dan bunga api tanpa lesen atau permit sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 8:35 PM