Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan menerima cenderahati daripada Abdul Latiff di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor Seksyen 5, Shah Alam. FOTO BERNAMA
Sultan Sharafuddin Idris Shah (kiri) berkenan menerima cenderahati daripada Abdul Latiff di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor Seksyen 5, Shah Alam. FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan pelancaran al-Quran al-Karim Terjemahan Bahasa Cina di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor di sini, tadi.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Pada majlis berkenaan baginda berdua juga diberikan penerangan berhubung al-Quran terjemahan bahasa Cina oleh Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa.

Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Latiff berkata, usahasama penerbitan al-Quran dan terjemahan berkenaan disokong oleh Yayasan Restu dan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

"Usaha ini bermula dengan Pelancaran Juzuk 'Amma dan Surah-surah pilihan serta Terjemahannya dalam bahasa Cina dan pemasyhuran Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor oleh Sultan Selangor pada 28 Mei 2016 . Ini bererti proses penghasilan Mushaf Cina ini mengambil tempoh enam tahun.

"Sebagaimana sedia maklum, Yayasan Restu sudah menggerakkan pembangunan Seni Mushaf al-Quran negara sejak tahun 1994.

"Seni Mushaf adalah seni Islam yang diwarisi sejak turun temurun sepanjang tamadun Islam adalah suatu bidang kesenian yang suci lagi agung, bagaimanapun, tidak ramai di kalangan umat Islam yang menyedari kewujudannya," katanya.

Beliau berkata, menghidupkan seni berkenaan sepatutnya dijadikan sebagai pemangkin bagi masyarakat Islam supaya lebih memahami lagi fungsi al-Quran yang sebenar.

Katanya, ia berikutan, tujuan tulisan ialah untuk dibaca dan bacaan pula tujuannya untuk difahami serta pengertiannya adalah untuk diikuti. Oleh itu, keindahan mushaf al-Quran akhirnya untuk diamalkan pengertian yang terkandung di dalamnya.

"Ia (penghasilan terjemahan bahasa Cina) juga adalah salah satu langkah mempelbagaikan usaha dakwah menerusi seni mushaf dalam melahirkan penerbitan al-Quran dan terjemahan dalam bahasa Cina yang lebih mudah difahami oleh masyarakat awam khususnya yang berbangsa Cina di Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Taiwan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2022 @ 3:38 PM