DIAN Lee Cheng Ling. FOTO BERNAMA
DIAN Lee Cheng Ling. FOTO BERNAMA
Omar Ahmad

Johor Bahru: Gerakan Bantu-Bantu Malaysia menggariskan tujuh cadangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) supaya kes penderaan kanak-kanak tidak berulang.

Pengasasnya, Datin Dian Lee Cheng Ling berkata, penderaan kanak-kanak seperti kes remaja perempuan Down Sindrom dikenali Bella,13 perlu dihentikan oleh sama ada oleh pihak berkuasa atau masyarakat.

Katanya, Bantu-Bantu Malaysia mencadangkan penambahan keanggotaan bahagian penguatkuasaan supaya dapat meningkatkan keberkesanan pemantauan, penyiasatan serta penyediaan kertas pendakwaan terutama dalam kes-kes berkaitan kanak-kanak.

Katanya, kempen kesedaran kepada ibu bapa juga perlu dipertingkatkan dari segi memilih taska yang berdaftar.

"Masih wujud taska yang beroperasi di rumah tanpa pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Faktor kewujudan taska ini kerana penjagaan tradisi dan kemampuan pendapatan isi rumah. Kerajaan perlu melihat faktor ini memandangkan taska berdaftar mengenakan bayaran lebih tinggi berbanding yang tidak berdaftar biarpun tahu mengenai risiko terhadap anak-anak mereka.

"Ketiga, mewujudkan pusat sehenti bagi pendaftaran pusat jagaan dan taska. Proses pendaftaran kini membabitkan beberapa agensi yang berbeza, ia perlu dipermudahkan untuk menggalakkan pendaftaran. Kini hanya 460 Taska di rumah sahaja mendaftar dengan JKM.

"Keempat, bantuan khusus yuran kursus taska. Ketika ini yuran kursus sebelum didaftarkan sebagai taska adalah dalam lingkungan RM1,000. Ini akan menjadi salah satu faktor penghalang kepada pengusaha untuk mengikuti kursus. Kerajaan perlu meneliti bagaimana dapat membantu pengusaha yang tidak berdaftar ini mengurangkan kos bagi kursus pendidikan awal kanak-kanak ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Cheng Ling, kerajaan menerusi JKM juga perlu menapis dan memeriksa latar belakang pemilik taska atau pusat kebajikan kanak-kanak dengan pihak berkuasa lain.

Katanya ia bagi memastikan mereka yang benar-benar layak dan tiada rekod berkaitan jenayah sebelum dibenarkan beroperasi.

"Selain itu, pembabitan ketua komuniti juga perlu bekerjasama untuk mendidik ibu bapa yang tinggal di kawasan mereka mengenai pentingnya Taska berdaftar ini.

"Ketua komuniti selain agensi berkaitan boleh dilantik sebagai pemantau taska yang berdaftar bagi memastikan segala keperluan serta peraturan dipatuhi pengusaha dan tidak bergantung kepada pemantauan berkala agensi berkaitan selepas didaftarkan.

"Cadangan terakhir ialah menambah baik khidmat Talian Kasih 15999 dengan turut menyediakan pakar kanak-kanak serta pakar psikologi.

"Mengikut laporan pada 2020, terdapat 25 kakitangan sahaja mengendalikan talian khusus ini dan bagi tahun 2020 iaitu bulan Januari sehingga 26 November 2020, Talian Kasih telah menerima hampir 90,000 panggilan atau purata 272 panggilan sehari dan ini tidak memadai.

"Perkhidmatan ini perlu diperluaskan ke seluruh negara secara berfasa dengan mewujudkan stesen-stesen tempatan di semua negeri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 April 2022 @ 1:49 PM