GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Dua lelaki parah selepas terkena besi dilibas seorang wanita warga asing yang mengamuk di hadapan rumah mereka di Taman Setia Jaya dekat sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian pada 5 petang itu berlaku di hadapan rumah mangsa apabila suspek berusia 37 tahun datang membuat bising dan menjerit-jerit sambil memegang sebatang besi yang dilibas-libaskan.

"Beberapa ahli keluarga di dalam rumah mangsa keluar untuk cuba menenangkan suspek yang juga jiran mereka supaya kembali ke rumahnya.

"Mereka turut bimbang perbuatan wanita akan mengenai dan merosakkan sebuah kereta milik ahli keluarga mangsa yang diparkir di hadapan rumah mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata, suspek semakin agresif dan cuba menyerang serta mengejar salah seorang mangsa wanita selepas disedari perbuatannya sedang dirakam.

"Ketika bapa dan suami wanita itu cuba menenangkan dan menghalang tindakan suspek, mereka terkena libasan batang besi yang sedang dipegang suspek.

"Tindak suspek itu telah menyebabkan suami wanita berkenaan luka di hidung dan di bahagian bibir manakala bapa wanita berkenaan bengkak mata kanan dan patah sebatang gigi," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, manakala suspek dan wanita yang cuba diserang tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis kemudian menahan suspek dan merampas senjata besi yang digunakan.

"Mahkamah Majistret Batu Pahat membenarkan suspek direman lima hari bermula hari ini sehingga Selasa depan," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata atau benda yang merbahaya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2022 @ 8:14 PM