Ipoh: Seorang warga emas bersama isterinya berhadapan detik cemas apabila hampir terkena hayunan sabit jirannya yang tidak berpuas hati dengan tindakannya menggunakan tanah di hadapan rumah mereka untuk menanam ubi kayu.

Difahamkan dalam kejadian pada jam 1.15 petang, Khamis lalu di Taman Meru Raya itu, mangsa berusia 68 tahun bukan saja nyaris dilibas dengan sabit, malah turut diugut bunuh sekiranya terus menanam ubi kayu di hadapan rumahnya.

Sumber berkata, perselisihan faham antara kedua-dua jiran itu sudah lama berlarutan berpunca daripada perebutan kawasan lapang di hadapan rumah mereka di mana masing-masing ingin menanam tanaman mereka.

Katanya, sehari sebelum kejadian, suspek sudah mencabut kesemua ubi kayu ditanam mangsa dan bertindak membuangnya menyebabkan mangsa ingin menanam semula ubi berkenaan.

Menurutnya, suspek datang ketika mangsa ingin menanam ubi dan cuba melibas mangsa serta isterinya dengan sabit menyebabkan mereka melarikan diri memasuki rumah.

“Suspek mengugut membunuh mangsa sekiranya cuba menanam kembali ubi itu dan menurut mangsa sudah beberapa kali suspek memberikan ingatan kepada mangsa supaya tidak menanam ubi di kawasan itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan pergaduhan itu masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 10:03 AM