Ahmad Rabiul Zulkifli


Kuala Terengganu: Sudah 25 tahun Roslan Mustaffa berniaga kuih tradisional Terengganu dikenali sebagai kuih menganang, malah resipi penyediaannya diwarisi turun-temurun daripada ahli keluarga terdahulu.

Belum terlintas lagi untuk peniaga berusia 52 tahun ini bersara, namun dia mahu membuat persediaan awal dan mahu anaknya mewarisi pembuatan kuih menganang keluarga.

Doanya makbul apabila empat daripada tujuh anak lelakinya berminat dengan perniagaan berkenaan dan membantunya berniaga terutama ketika Ramadan setiap tahun.

"Lega apabila anak-anak berminat dan jika ditakdirkan saya sudah tidak berniaga, mereka akan mengambil alih perniagaan ini yang diusahakan sejak turun-temurun.

"Saya sendiri mewarisi daripada ibu saudara dan kini anak lelaki banyak membantu. Mereka boleh teruskan tradisi ini," katanya gerainya di Kampung Bukit Bayas, di sini.

Roslan berkata, dia menjual kuih itu digerainya pada setiap hari, namun permintaan terhadap kuih menganang meningkat tiga kali ganda pada Ramadan.

Katanya, 500 hingga 600 biji terjual setiap hari pada Ramadan, malah ada juga pelanggan membuat tempahan awal untuk belian dalam jumlah banyak.

ROSLAN (tengah) dibantu empat anaknya (dari kiri) Zarul Ikhwan, Zazuan Haqeem, Zakry Syafiq dan Muhammad Zam Firdaus menjual kuih menganang di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu. FOTO GHAZALI KORI
ROSLAN (tengah) dibantu empat anaknya (dari kiri) Zarul Ikhwan, Zazuan Haqeem, Zakry Syafiq dan Muhammad Zam Firdaus menjual kuih menganang di Kampung Bukit Bayas, Kuala Terengganu. FOTO GHAZALI KORI

Atas sebab itu katanya, dia mengasuh anaknya sejak kecil untuk membantu dia di gerai dan minat menjual kuih itu ditunjukkan Zarul Ikhwan, 29, Zakry Syafiq, 28, Zazuan Haqeem, 23, dan Muhammad Zam Firdaus, 20.

Zarul Ikhwan berkata, dia seronok dapat membantu bapanya berniaga dan pengajian secara dalam talian yang dijalani ketika ini memudahkan dia menolong orang tua itu di gerai.

Katanya, mereka adik-beradik mula membantu sejak 10 pagi dan proses paling rumit adalah membakar kuih menganang kerana perlu mengawal api dengan betul.

"Nampak macam senang, tetapi sebenarnya pembuatan kuih menganang itu antara yang paling rumit berbanding pembuatan kuih tradisional lain," katanya yang mahu memastikan makanan tradisional tidak pupus dan dapat dinikmati sepanjang zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2022 @ 7:00 AM