BANDUAN yang melarikan diri dari Penjara Jelebu Ahad lalu berjaya ditangkap ketika bersembunyi di kawasan semak di Jalan Purun, Kuala Klawang. FOTO Ihsan PDRM
BANDUAN yang melarikan diri dari Penjara Jelebu Ahad lalu berjaya ditangkap ketika bersembunyi di kawasan semak di Jalan Purun, Kuala Klawang. FOTO Ihsan PDRM
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Tiga lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu Ahad lalu berjaya ditangkap ketika bersembunyi di kawasan semak di Jalan Purun, Kuala Klawang, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jelebu Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, tiga banduan yang berjaya ditahan itu berusia 28 hingga 62 tahun termasuk seorang daripadanya adalah warga Indonesia.

Menurutnya, ketiga-tiga banduan terbabit berjaya ditahan kira-kira jam 10 malam oleh sepasukan polis dan petugas penjara dalam operasi diketuainya sendiri.

"Kita terima maklumat awam berkaitan ketiga-tiga banduan berkenaan sebelum membuat tangkapan. Ketika ditangkap semua banduan itu lengkap berpakaian. Kita percaya pakaian itu dicuri daripada penduduk sekitar kawasan berkenaan.

"Mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Jelebu pagi tadi bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maslan berkata, mahkamah membenarkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 16 April.

Katanya, operasi mengesan seorang lagi banduan dikenali Muhammad Syafiq Rohmat, 32 masih diteruskan.

Media sebelum ini melaporkan, tujuh banduan melarikan diri dari Penjara Jelebu dengan memanjat lubang siling dan keluar melalui pagar di tepi blok Muhasabah 2 yang dipotong dengan pemotong besi dalam kejadian dipercayai pada jam 6 pagi Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2022 @ 1:33 PM