Datuk Mohd Yusof Ahmad
Datuk Mohd Yusof Ahmad
BERNAMA

Seremban: Tarekat Naqsyabandiyah al-Aliyyah Syeikh Nazim al-Haqqani adalah tarekat yang berdaftar di bawah Enakmen Tarekat (Negeri Sembilan) 2005 dengan Nombor Pendaftaran JMKNNS BTT.070-2/1(33).

Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, hasil kajian oleh Anggota Jilsah al-Turuq al-Sufiyyah Negeri Sembilan dan pemantauan pihaknya terhadap majlis zikir serta aktiviti tarekat ini sama ada di negeri itu atau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur mendapati ia tidak bercanggah dengan Ahli Sunnah wal Jamaah dan disiplin ilmu tarekat tasauwuf.

Beliau berkata, hal berkenaan diperkuatkan dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) kali ke-117 pada 2020 yang mengkaji semula pengharaman tarekat berkenaan.

"Keputusan ini adalah keputusan bersama mufti-mufti seluruh negeri di Malaysia. Maka, sebarang polemik terhadap tarekat ini hendaklah dihentikan segera bagi menghormati keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang mendapat perkenan daripada Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021.

"Selain itu, titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI melalui kenyataan bertarikh 9 April 2022 hendaklah ditaati oleh semua pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusof berkata tarekat itu boleh diamalkan dengan syarat amalannya tidak bercanggah dengan prinsip akidah dan syariat dalam kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah.

Selain itu, dalam melaksanakan amalan tarekat, beliau berkata pengamal hendaklah memastikan tidak berlaku amalan dan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah, salah faham terhadap agama dan tidak bersesuaian dengan uruf (adat resam) setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 9:26 PM