Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Tahun lalu bazar Ramadan dibatalkan di saat akhir menyebabkan saya menangis hiba kerana banyak modal dikeluarkan dan diharapkan Ramadan kali ini dapat menebus kembali kesedihan," kata Suraya Abdul Mutalib.

Suraya, 55, yang juga peniaga somtam sudah 30 tahun mengusahakan menu dari Thailand itu termasuk berniaga bazar Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini.

Menurutnya, kebenaran berniaga di bazar Ramadan mulai esok dianggap satu rahmat buatnya dan peniaga lain.

Katanya, selain memeriahkan kembali lokasi bazar Ramadan yang sudah wujud sejak sekian lama, ia juga membuka peluang kepada peniaga untuk menambah pendapatan.

"Sudah dua tahun sejak Covid-19 melanda, kerajaan tidak membenarkan pembukaan bazar Ramadan dan paling perit dirasakan adalah tahun lalu kerana pembatalannya diumumkan saat akhir.

"Saya berharap jualan berjalan lancar kali ini dan berasa lega selain tidak tidak sabar untuk memulakan perniagaan bersama dua pembantu, esok.

"Jika sebelum ini pendapatan mencecah RM1,000 sehari, tapi untuk Ramadan kali ini saya tidak jangka dapat sebanyak itu kerana mungkin orang ramai masih berwaspada pergi ke lokasi sesak," katanya.

Peniaga minuman Ramli Ishak, 48, berkata persediaan untuk berniaga di bazar Ramadan sudah dibuat sejak beberapa hari lalu kerana tidak sabar untuk memeriahkan kembali suasana.

Menurutnya, bazar Ramadan sinonim dengan bulan puasa dan ketiadaannya sepanjang dua kali Ramadan menimbulkan rasa janggal.

"Saya tidak mengharapkan jualan laris seperti sebelum ini walaupun sudah berada dalam peralihan fasa ke endemik, namun berharap masih berpeluang menambahkan pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2022 @ 5:20 PM
Penyewa tapak bazar ramadan, Suraya Abdul Mutalib, 55 membuat persiapan sebelum memulakan perniagaan bazar ramadan esok di tapak jualan di Bazar Ramadan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Penyewa tapak bazar ramadan, Suraya Abdul Mutalib, 55 membuat persiapan sebelum memulakan perniagaan bazar ramadan esok di tapak jualan di Bazar Ramadan perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR