PENIAGA perlu ubah model perniagaan. FOTO Ihsan Lin Ismail, Raja Nahzatul Shima Raja & Afyan Mat Rawi
PENIAGA perlu ubah model perniagaan. FOTO Ihsan Lin Ismail, Raja Nahzatul Shima Raja & Afyan Mat Rawi
Muhamaad Razis Ismail

SAMBUTAN Ramadan tahun ini berbeza berbanding sebelumnya apabila masyarakat negara ini perlu mengharungi kebiasaan baharu dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Pada masa sama, kerajaan mengumumkan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk memastikan usaha menangani pandemik ini berjaya sepenuhnya.

Situasi ini secara tidak langsung menyebabkan pendapatan mereka yang menjadikan bazar Ramadan sebagai 'lubuk rezeki' terjejas.

Tambahan pula, sejak PKP dilaksanakan, peniaga tidak dapat beroperasi seperti biasa.

Bagi membantu mereka yang terjejas, pelbagai usaha yang dilakukan termasuk memperkenalkan e- bazar dan sebagainya.

Sementara itu, peniaga perlu mengambil inisiatif sendiri dan kreatif untuk terus menjana pendapatan sepanjang PKP dilaksanakan.

Peniaga, Lin Ismail berkata, dia berniaga pelbagai jenis kuih di bazar Ramadan di Sri Serdang, Selangor sejak 2016.

Bagaimanapun pada tahun ini, disebabkan PKP, perniagaan di bazar Ramadan tidak dapat dijalankan seperti yang dirancang.

"Oleh itu, sebagai peniaga saya tiada pilihan lain dengan menukar kaedah jualan secara dalam talian.

"Pada mulanya agak kekok berniaga dengan kaedah ini, kerana tidak dapat bersemuka dengan pelanggan, namun lama kelamaan sudah dapat biasakan diri.

"Alhamdulillah dengan kaedah ini, sambutan yang diberikan cukup menggalakkan biarpun tidak seperti bazar Ramadan kerana pelanggan pun tiada pilihan kerana perlu beli secara dalam talian dengan bayaran," katanya.

PERSIAPAN dibuat sebelum penghantaran dibuat. FOTO Ihsan Lin Ismail, Raja Nahzatul Shima Raja & Afyan Mat Rawi
PERSIAPAN dibuat sebelum penghantaran dibuat. FOTO Ihsan Lin Ismail, Raja Nahzatul Shima Raja & Afyan Mat Rawi

Secara peribadi, beliau berpendapat, berniaga secara dalam talian lebih menjimatkan berbanding di bazar Ramadan.

"Biarpun pendapatan kurang sedikit, dengan berniaga dalam talian peniaga dapat jimatkan penggunaan barang jualan dan tenaga kerja.

"Namun ini hanya pendapat peribadi saya dan mungkin bagi peniaga lain mempunyai pandangan sebaliknya," katanya.

Menurutnya, sepanjang Ramadan ini, dia mula menyediakan kuih dengan seorang pembantu selepas Subuh sehingga tengah hari.

"Tempahan dibuat sehari awal sehingga jam 2 petang sebelum penghantaran kemudian dibuat bermula 5 petang hingga 7 malam oleh anak lelaki menggunakan kereta.

"Promosi juga dibuat di beberapa Facebook dan aplikasi WhatsApp untuk memudahkan pelanggan membuat tempahan.

"Saya juga menggunakan khidmat beberapa ejen untuk memudahkan penghantaran makanan di kawasan yang lebih jauh," katanya.

Bagi Raja Nahzatul Shima Raja Adnan, dia berpendapat berniaga secara dalam talian terhad berbanding di bazar Ramadan.

"Tempahan tauhu begedil yang diambil secara dalam talian perlu diambil kira beberapa faktor antaranya jarak dan masa kerana saya hanya menggunakan khidmat dua 'runner' sahaja.

"Berbanding di bazar Ramadan, ramai pelanggan boleh 'walk in' dan beli seberapa banyak yang mereka inginkan," katanya.

Tambahnya, dia bagaimana pun tidak kekok untuk berniaga secara dalam talian kerana sudah aplikasikan kaedah itu sejak tahun lalu.

"Cumanya sebelum ini saya hanya buka tempahan seminggu sekali sahaja. Namun sejak PKP dilaksanakan, saya tiada pilihan untuk terus fokus secara dalam talian untuk menjana pendapatan keluarga.

"Alhamdulillah sambutan yang diberikan sangat menggalakkan namun seperti yang dikatakan tadi, ia terhad atas beberapa faktor," katanya.

Sementara itu, Perunding Kewangan, Afyan Mat Rawi ketika dihubungi berkata, peniaga perlu berani meneroka peluang dan kaedah baru untuk menjana pendapatan.

"Dalam berdepan kebiasaan baru ini, peniaga perlu kreatif dengan menggunakan kaedah perniagaan dalam talian yang memberi kemudahan kepada pelanggan mendapatkan produk yang dihasilkan.

"Selain itu boleh cuba meneroka peluang baharu dalam perniagaan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan," katanya.

ANTARA gambaran bazar Ramadan Sri Serdang tahun lalu. FOTO Ihsan Lin Ismail, Raja Nahzatul Shima Raja & Afyan Mat Rawi
ANTARA gambaran bazar Ramadan Sri Serdang tahun lalu. FOTO Ihsan Lin Ismail, Raja Nahzatul Shima Raja & Afyan Mat Rawi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2020 @ 7:00 AM