Mohamad Fitri (kiri) bersama pegawainya melihat tanda harga ayam sewaktu mengadakan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan di Pasar Besar Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Mohamad Fitri (kiri) bersama pegawainya melihat tanda harga ayam sewaktu mengadakan pemeriksaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan di Pasar Besar Alor Setar. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


MASALAH bekalan ayam daging di Alor Setar dijangka pulih menjelang pertengahan Ramadan nanti.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohamad Fitri Hassan berkata, tinjauan pihaknya di Pasar Besar Alor Setar mendapati berlaku sedikit kenaikan harga ayam daging disebabkan kekurangan bekalan.

“Banyak variasi harga ayam daging yang dijual di Pasar Besar Alor Setar iaitu sekitar RM7.80 dan RM8.50 bagi sekilogram dan berdasarkan tinjauan yang dilakukan, kami mendapati ada berlaku kenaikan.

“Harga sebelum ini sekitar RM7.50 ke bawah dan kita percaya kenaikan ini adalah disebabkan bekalan yang berkurangan terutama apabila memasuki bulan Ramadan ini.

“Namun, kita menjangkakan bekalan ayam daging akan pulih menjelang 15 Ramadan nanti,” katanya selepas mengadakan Program Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 di Pasar Besar Alor Setar hari ini.

Beliau berkata, ikan turut mengalami kenaikan harga tetapi sejak semalam, ia kembali normal apabila harga ikan seperti ikan kembung dijual antara RM5 hingga RM6 untuk sekilogram.

“Kenaikan harga ikan juga bergantung kepada bekalan kerana beberapa hari sebelum ini berlakunya kekurangan bekalan menyebabkan harga seperti ikan kembung mencecah RM15 hingga RM16.

“Namun selepas bekalan kembali stabil, harganya kini stabil,” katanya.

Program pemeriksaan berkenaan adalah pertama kali diadakan bersempena Ramadan dan KPDNKK menetapkan 10 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan.

Barangan terbabit ialah kacang tanah, kacang hijau, telur ayam Gred A, B dan C, kelapa biji, kelapa parut, gula pasir putih kasar dan gula pasir putih halus serta tepung gandum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 3:06 PM