Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral di sini, sesak dengan pengunjung yang ingin pulang ke kampung halaman hari ini bagi menunaikan tanggungjawab mengundi esok.

Tinjauan mendapati suasana di tempat pembelian tiket sesak dengan ratusan pengunjung beratur bagi mendapatkan tiket serta yang beratur di pintu balai pelepasan bagi menaiki bas ke destinasi masing-masing.

Pesara kerajaan, Zainah Matdizat, 70, berkata suasana di terminal pengangkutan yang sesak hari ini mengingatkannya pada Hari Raya Aidilfitri.

"Meriah dan seronok rasanya apabila ramai yang pulang ke kampung halaman bagi mengundi esok.

"Saya mengundi di Lembah Pantai dan sudah beli tiket bas sejak 8 November lalu bagi mengelakkan kehabisan tiket.

"Saya yang warga emas pun masih bersemangat mengundi walaupun terpaksa menaiki bas pulang ke kawasan tempat mengundi selepas berpindah ke Johor Bahru sejak 10 tahun lalu.

"Bolehlah saya melawat anak cucu di Kuala Lumpur malah saya turut meminta anak cucu supaya pergi mengundi di kawasan mereka bagi menunaikan tanggungjawab pada negara," katanya.

Sementara itu, peniaga, Ummi Kalthum Muharam, 38, sanggup membawa tiga anaknya menaiki bas balik ke Shah Alam, untuk menunaikan kewajipan mengundi.

Katanya, beliau lebih gemar menaiki bas untuk pulang mengundi rutin yang dilakukannya sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sejak PRU14, saya lebih gemar balik mengundi menaiki bas ekpres kerana dapat berehat seketika berbanding kepenatan menempuh kesesakan jika memandu sendiri.

"Saya berharap generasi muda turut keluar beramai-ramai mengundi esok kerana ia adalah kewajipan kita pada negara.

"Jangan menyesal atau bising jika pemimpin pilihan kita tewas kerana tidak cukup undi disebabkan kita malas mengundi," katanya.

Dalam pada itu, suri rumah, Nuraziana Mohd, 26, berkata beliau juga pulang ke kampung di Batu Kurau, Perak,bersama anaknya yang berusia dua tahun untuk mengundi.

"Saya sudah beli tiket pulang ke Batu Kurau untuk mengundi sebaik tarikh mengundi diumumkan bulan lalu.

"Walaupun masih muda, saya tidak mahu ketinggalan menunaikan kewajipan apatah lagi suami pun meminta saya pulang ke kampung menunaikan tanggungjawab. Suami pula mengundi di Johor Bahru sahaja kerana memang berasal dari sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2022 @ 11:12 AM
SEKITAR tinjauan orang ramai pulang ke kampung untuk mengundi pada PRU-15 di Larkin Sentral, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
SEKITAR tinjauan orang ramai pulang ke kampung untuk mengundi pada PRU-15 di Larkin Sentral, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN