Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan negeri menyarankan supaya gelembung perjalanan khas terhadap penerima vaksin diperkenal bagi membolehkan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura kepada lebih ramai individu.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata, ia susulan Program Imunisasi Covid-19 sudah bermula di Johor dan negara ini, manakala Singapura pula sudah memulakan program seumpama lebih awal, iaitu pada 30 Disember lalu.

Katanya, saranan itu akan dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat, supaya ia dapat diperhalusi dan dibincangkan lebih lanjut.

"Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 membolehkan isu termasuk pembukaan sempadan antara Malaysia-Singapura dilihat semula dan Johor akan menyarankan supaya gelembung perjalanan khas diperkenalkan terhadap penerima vaksin antara Malaysia-Singapura.

"Ia berikutan semua penerima akan menerima sijil vaksin dan semestinya perlu ada manfaat kepada yang mempunyai sijil vaksin membabitkan rakyat Malaysia dan Singapura," katanya ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Negeri Johor di sini, hari ini.

Gambar fail, orang ramai menyeberangi Tambak Johor. FOTO BERNAMA.
Gambar fail, orang ramai menyeberangi Tambak Johor. FOTO BERNAMA.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut menjadi penerima vaksin pertama di Johor sekali gus memulakan program imunisasi di negeri itu, diikuti 35,100 barisan hadapan fasa pertama.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 10:57 AM