GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) disyorkan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) dan Insentif Pendaratan Ikan dengan memperhalusi elemen semakan kelayakan dan mekanisme pemantauan yang lebih berkesan.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini, ia bagi memastikan bayaran Program Insentif Hasil Tangkapan Nelayan (IHTN) dapat dilaksanakan dengan teratur.

"Secara keseluruhannya, berdasarkan skop Audit, terdapat kelemahan dalam bayaran IHTN kepada nelayan oleh LKIM. Bayaran ESHN berjumlah RM24,571 dibuat kepada penerima yang telah meninggal dunia.

"Di samping itu, bayaran Insentif Pendaratan Ikan berjumlah RM21,392 dibuat kepada penerima yang meninggal dunia serta pemilik vesel yang tidak mengisytiharkan hasil tangkapan ikan menerima Skim Subsidi Diesel dan Petrol berjumlah RM2.12 juta," menurut laporan itu.

Turut disyorkan adalah untuk LKIM menguatkuasakan tindakan senarai hitam dan sekatan bekalan minyak Skim Subsidi Diesel dan Petrol terhadap pemilik vesel yang gagal atau enggan mengisytiharkan hasil tangkapan ikan.

Laporan berkenaan juga mengesyorkan supaya penambahbaikan sistem yang terbabit dilaksanakan dengan mempunyai ciri keselamatan, boleh dipercayai dan memiliki pelan kesinambungan perkhidmatan.

IHTN diwujudkan bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai pendaratan ikan bagi setiap pemilik vesel selain ia sebagai galakan kepada nelayan untuk mendaratkan hasil perikanan di dalam negara.

IHTN juga turut bertujuan bagi mengawal dan memastikan minyak bersubsidi yang dibeli nelayan digunakan hanya untuk aktiviti menangkap ikan dan menampung kos perbelanjaan susulan peningkatan harga minyak.

ESHN pula adalah bantuan bulanan kepada nelayan terdiri daripada pemilik vesel perikanan dan pekerja (awak-awak) yang berkelayakan serta berdaftar di bawah Jabatan Perikanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 4:21 PM