Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Pelancong dari negara Eropah, Timur Tengah, Asia mahupun rantau ini dijangka mula mengunjungi Malaysia apabila sempadan negara dibuka pada 1 April ini.

Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara merangkap Timbalan Ketua Pengarah Perancangan Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, pembukaan sempadan negara secara tidak langsung akan merancakkan lagi industri pelancongan negara.

Katanya, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menyasarkan jumlah pelancong datang ke Malaysia tahun ini adalah dua juta orang.

"Walaupun masih dalam pandemik Covid-19, namun kita yakin sasaran itu dapat dicapai memandangkan pelancong dari beberapa negara berminat untuk masuk ke negara ini iaitu Eropah, Timur Tengah, India, Thailand, Singapura dan Indonesia.

"Namun, kita masih lagi terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kes Covid-19 masih menular termasuk dari luar negara dan negara kita.

"Selain itu, sasaran dapat dicapai jika tidak ada faktor luaran lain termasuk varian baharu Covid-19," katanya.

ISKANDAR Mirza Mohd Yusof pada sidang media selepas MATTA Fair Kelantan 2022 di Mydin Tunjong di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ISKANDAR Mirza Mohd Yusof pada sidang media selepas MATTA Fair Kelantan 2022 di Mydin Tunjong di sini, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair Kelantan 2022, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden MATTA Mohd Akil Yusof.

Iskandar Mirza berkata, pihaknya masih menunggu SOP yang akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam tempoh seminggu atau dua minggu lagi.

"Pembukaan sempadan ini membabitkan pelbagai pihak iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan pihak-pihak yang lain.

"Kita harap Malaysia dan negara lain akan mula buka sempadan negara bagi merancakkan kembali industri pelancongan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 6:21 PM