Nur' Inani (tengah) bersama bapanya dan kakaknya, Nur Aliza (kanan) menunjukkan Sijil Lanskap diterima arwah adiknya di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Melaka hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Nur' Inani (tengah) bersama bapanya dan kakaknya, Nur Aliza (kanan) menunjukkan Sijil Lanskap diterima arwah adiknya di Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Melaka hari ini. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: "Memang impian arwah adik untuk konvo bersama. Itulah yang saya ingat sampai sekarang dan rasa 'lain' bila dapat panggilan mengenai konvokesyen ini," kata graduan Sijil Kulinari di Kolej Komuniti Bukit Beruang, Nur' Inani Husna Ahmad Nahar.

Dia meluahkan rasa sedih ketika ditemui media selepas mengambil Sijil Landskap pada Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Melaka mewakili adiknya, Muhammad Nafis yang meninggal dunia akibat nahas jalan raya dua tahun lalu.

"Ikutkan giliran konvokesyen saya pada sidang kedua esok, tapi hari ini saya kuatkan hati naik ke pentas untuk terima Sijil Landskap bagi arwah adik yang belajar di Kolej Komuniti Selandar.

"Malah masih terngiang-ngiang suaranya sebelum ini yang sering meluahkan kegembiraan kerana dapat konvo bersama walaupun waktu sidang kami berbeza sehari. Namun, Allah lebih menyayangi adik," katanya.

Nur' Inani Husna, 26, berkata, adiknya meninggal dunia selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan motosikal lain di Hulu Langat, Selangor ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari dusun nangka rakannya, kira-kira 2 pagi 20 Jun 2020.

"Waktu itu musim buah-buahan, adik dan rakannya bercadang untuk berniaga.

"Walaupun kejadian sudah dua tahun berlalu, kenangan bersamanya yang rapat dengan saya sejak kecil masih segar.

"Malah adik juga merancang untuk sambung diploma kulinari dan bukan landskap kerana dia amat gemar memasak," katanya.

Sementara itu bapanya, Ahmad Nahar Jantan, 64, berkata, pada awalnya dia berat hati untuk hadir di majlis konvokesyen itu apabila mengenangkan arwah yang juga anak bongsu dan satu-satunya lelaki daripada lima beradik.

"Ikutkan saya tak nak pergi hari ini dan hendak duduk di rumah saja bila teringat arwah anak.

"Tapi anak (Nur' Inani Husna) dan isteri beria merayu, jadi saya tabahkan hati untuk datang juga," katanya yang menetap di Kampung Jawa, Hulu Langat, Selangor.

Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Melaka berlangsung di Dewan Platinum, Politeknik Merlimau hari ini dan esok menyaksikan seramai 1,395 graduan dari enam Kolej Komuniti bagi program diploma dan 14 program sijil yang menamatkan pengajian pada 2019 dan 2020 menerima anugerah masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2022 @ 8:12 PM