GAMBAR kenangan Siti Aishah bersama Allahyarhamah ibunya, Zalina. Gambar kiri, Siti Aishah pada majlis konvokesyen.
GAMBAR kenangan Siti Aishah bersama Allahyarhamah ibunya, Zalina. Gambar kiri, Siti Aishah pada majlis konvokesyen.
Redzuan Muharam


Cheras: Hasrat Siti Aishah Rosli untuk meraikan kejayaan menamatkan pengajian sempena majlis konvokesyen kolejnya pada Rabu lalu bersama ibunya, Zalina Mohd Shariff tidak kesampaian apabila insan tercinta itu terlebih dulu dijemput Ilahi.

Pemergian Zalina pada 7 September tahun lalu akibat jangkitan kuman teruk dengan tisu paru-paru rosak membuatkan 'dunia' Siti Aishah, 25, berasa gelap dan sepi walaupun masih mempunyai bapa, Rosli Jaffar serta enam adik-beradiknya yang lain.

Kisah Siti Aishah mendapat perhatian selepas wanita itu memuat naik video bersiap memakai jubah konvokesyen sebelum dipeluk ibu dan ibu saudara rakannya.

Turut meruntun hati netizen adalah perkongsian video detik-detik terakhir Siti Aishah bersama ibunya di dalam wad.

Berkongsi kisahnya, Siti Aishah berkata, pemergian ibunya amat memberi kesan mendalam buatnya kerana hubungan mereka cukup akrab.

Bagaimanapun, Siti Aishah yang bekerja sebagai pengurus projek dan menetap di Bandar Tun Hussein Onn (BTHO) di sini, terpaksa berjauhan dengan ibunya selepas dapat tawaran bekerja di Pulau Pinang, tahun lalu.

"Kali terakhir saya lihat emak dalam keadaan sihat adalah ketika arwah menghantar saya ke Pulau Pinang pada Jun tahun lalu.

"Ketika itu, emak bersungguh-sungguh mengajak saya bergambar bersama-sama dengannya kerana katanya, 'gambar akan datang tidak sama' dan saya mengikutkan saja kehendaknya tanpa fikir yang bukan-bukan.

"Cuma apa yang membuatkan saya ralat apabila tidak mengikut pelawaannya untuk makan bersama pada waktu itu.

"Sebulan kemudian, saya rancang pulang ke rumah untuk memberi kejutan kepada emak dengan menghadiahkannya kek duit tarik semua gaji pertama saya di dalamnya. Tetapi, saya pula dikejutkan apabila arwah dimasukkan ke hospital akibat Covid-19 pada hari kepulangan saya," katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Siti Aishah, berikutan tahap oksigen yang rendah, ibunya terpaksa dintubasi.

"Ikutkan keadaan emak tidak serius namun arwah ada asma dan hari kelima oksigennya menurun jadi tiada pilihan melainkan ditidurkan.

"Selama 73 hari emak ditidurkan namun pada hari ke-50, arwah disahkan bebas Covid-19 jadi kami minta kebenaran pihak hospital untuk melawatnya.

"Ketika di wad, saya nampak air mata emak mengalir, mungkin arwah dengar suara kami cuma tidak dapat respons," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 8:53 AM