MUSTAPA bercakap pada sesi menjawab perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
MUSTAPA bercakap pada sesi menjawab perbahasan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Satu kajian khusus ke arah mentransformasikan komuniti luar bandar Felda yang moden dan progresif akan dilaksanakan bagi penyelesaian jangka panjang menangani isu kawasan tanah rancangan itu di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian yang akan bermula dalam tempoh tiga bulan lagi bakal membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak berkaitan.

"Kajian ini akan membabitkan semua warga Felda termasuk NGO seperti Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Kami Anak Felda (KAF) bagi memastikan hasrat serta cita-cita golongan terutama generasi kedua diberi perhatian dan diambil tindakan sewajarnya.

"Kajian ini juga akan menjadi panduan ke arah kelestarian Felda yang akan meningkatkan nilai komersial kawasan Felda sebagai kawasan yang memberikan peluang aktiviti ekonomi dan pekerjaan kepada warganya serta membentuk generasi baharu Felda yang mampu berdaya saing di era digital," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang akan bermula bulan depan bakal menggunakan pendekatan baharu yang lebih holistik.

Katanya, 'whole-of-nation approach' (pendekatan keseluruhan negara) itu adalah pendekatan dari bawah ke atas serta penyelesaian kemiskinan secara bersasar di peringkat pusat, negeri dan daerah.

"Selain itu, kerjasama pelbagai pihak akan digembleng termasuk penyertaan pelbagai kementerian dan agensi, pentadbiran kerajaan negeri dan daerah, sektor swasta dan industri, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan organisasi berasaskan komuniti (CBO) serta akademia.

"Aktiviti peningkatan ekonomi dan penjanaan pendapatan serta pembangunan kapasiti dan minda yang sesuai akan dilaksanakan berdasarkan potensi lokaliti dan profil KIR (ketua isi rumah) miskin tegar," katanya.

Katanya, Ahli Parlimen akan turut terbabit bagi merangka strategi untuk membasmi kemiskinan tegar di kawasan masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 6:52 PM