GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Solat berjemaah tanpa penjarakan fizikal atau saf dirapatkan dibenarkan di semua surau dan masjid di Wilayah Persekutuan selaras dengan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik 1 April ini.

Kebenaran itu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan berdasarkan pelaksanaan garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti ibadat di masjid dan surau.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, jemaah digalakkan membawa dan menggunakan sejadah sendiri ketika mengerjakan solat di masjid dan surau.

Menurutnya, kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada yang menerima vaksinasi Covid-19.

Katanya, masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan solat sunat Tarawih 20 rakaat pada Ramadan, manakala Qiamullail dibenarkan di masjid dan surau bermula tengah malam.

"Majlis berbuka puasa, moreh dan sahur dibenarkan di masjid dan surau manakala makanan digalakkan disediakan secara berbungkus," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Mohd Ajib berkata, aktiviti tadarus al-Quran di masjid dan surau dibenarkan diadakan pada bila-bila masa yang bersesuaian dalam bentuk kumpulan kecil.

Menurutnya, semua kebenaran itu adalah tertakluk kepada SOP yang ditetapkan selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Diharapkan lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dan disaran untuk terus bermunajat serta berdoa agar penularan wabak Covid-19 melanda negara segera dapat dibendung seterusnya mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 10:59 AM