ABDUL Jalil membawa empat ayam Poland miliknya bersiar-siar dengan kenderaan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ABDUL Jalil membawa empat ayam Poland miliknya bersiar-siar dengan kenderaan. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Berang: Kebiasaannya kucing dibawa sebagai teman, namun berbeza buat seorang warga emas apabila membawa empat ayam Poland miliknya bersiar-siar dengan kenderaan pada setiap hari.

Lebih unik apabila empat daripada 13 ayam hiasan itu seakan memahami dengan bertenggek di atas pintu kenderaan ketika dibawa bersiar-siar.

Abdul Jalil Omar, 67, dari Kampung Gaung, di sini, berkata empat ayam Poland diberi nama Snow, Didi, Juki dan Syukran itu akan dibawa ke mana sahaja termasuk ke kedai makan atau pasar raya.

Menurutnya, menjadi rutin hariannya membawa ayam Poland yang diternak sejak 2018 itu untuk keluar bersiar-siar.

"Biasanya saya bawa dua hingga empat ekor ayam Poland itu ke kedai makan pada waktu pagi untuk sarapan.

"Paling jauh saya pernah membawa ayam itu pada bahagian pintu kereta sejauh 22 kilometer (km) iaitu ke Kampung Pasir Tinggi.

"Setakat ini ayam itu bertenggek di pintu kereta saja hingga tiba ke destinasi dan tidak pernah jatuh atau terbang dengan syarat had kelajuan hanya 60 kilometer sejam," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Abdul Jalil atau lebih mesra dipanggil Pak Jalil berkata, dia tidak kisah dengan tanggapan orang ramai terhadapnya, malah berasa bangga kerana semua ayam Poland diternak cerdik dan terlatih.

"Bukan sahaja boleh dibawa bersiar-siar dengan kereta, malah ayam itu seakan memahami dan patuh pada arahan.

"Semua ayam-ayam itu mempunyai nama masing-masing, oleh itu ayam dipanggil dengan nama dan akan segera datang kepada saya apabila dipanggil.

"Berdasarkan pengalaman, hanya ayam Poland yang cerdik dan boleh dilatih menjadi jinak sekali gus tidak hairanlah ia berharga mahal," katanya.

Katanya, ayam Poland itu berharga RM500 hingga RM1,000 sepasang di pasaran dan ia dalam kategori ayam hiasan.

"Saya bukan ternak ayam itu untuk menjualnya, sebaliknya sekadar hobi dan terapi diri, maklumlah sudah bersara sebagai penjawat awam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 12:44 PM