Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kementerian Kesihatan (KKM) sentiasa menjadi rujukan untuk mendapatkan nasihat bagi ketetapan protokol kesihatan buat sektor ekonomi dan industri, terutama apabila sempadan negara dibuka, 1 April ini.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembukaan sempadan sudah lama dinantikan pemain industri dan ia pastinya akan merancakkan lagi ekonomi dan meningkatkan permintaan luaran.

Untuk itu katanya, Miti sering berbincang dengan KKM termasuk untuk mewujudkan program pemberian dos penggalak Covid-19 kepada 1.8 juta pekerja sektor perkilangan, seperti inisiatif terdahulu menerusi Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (Pikas).

"Sektor perkilangan adalah tulang belakang ekonomi negara. Mungkin pekerja sektor lain boleh bekerja dari rumah tetapi dalam sektor perkilangan, pekerja terpaksa berada di 'production line' dan terdedah kepada risiko.

"Ketika ini dalam 65 peratus rakyat sudah mendapat dos penggalak dan ini memberikan situasi lebih selamat dalam sektor perkilangan dan pembuatan untuk terus beroperasi, khususnya apabila sempadan dibuka.

"Selain itu, bagi memastikan keselamatan pekerja sektor, kementerian menyediakan prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang mengikut nasihat KKM," katanya pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Rohm-Wako Electronics (Malaysia) Sdn Bhd di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mohamed Azmin berkata, antara langkah proaktif yang sudah diambil untuk memastikan ekonomi negara kekal berjalan, termasuk mewujudkan gelembung tempat kerja ke penginapan bagi industri.

"Jadi jika ada kes-kes baharu, kita tidak perlu menutup keseluruhan operasi kilang dan industri, hanya mengasingkan pekerja yang positif," katanya.

Menurutnya, beliau juga yakin pembukaan sempadan akan menggalakkan produktiviti syarikat dan industri tempatan dalam memenuhi pasaran global.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 3:05 PM