GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berhubung permohonan semakan kehakiman yang mendakwa Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun gagal menasihati Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya meletak jawatan Perdana Menteri selepas kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Darryl Goon Siew Chye membenarkan bantahan awal oleh Peguam Persekutuan Low Wen Zhen bahawa rayuan Khairuddin tidak lagi relevan kerana Muhyiddin bukan lagi Perdana Menteri.

Hanipah yang menyampaikan keputusan sebulat suara mahkamah berkata, kes Khairuddin tertumpu pada dakwaan kegagalan di pihak Peguam Negara untuk menasihati Muhyiddin menurut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan untuk meletak jawatan.

Bagaimanapun, beliau berkata, mahkamah tidak akan menangani isu yang telah menjadi tidak relevan.

Hakim itu berkata, asas pengisytiharan yang dimohon Khairuddin tidak lagi wujud, sambil menambah bahawa antara pengisytiharan yang diminta oleh Khairuddin hanyalah mengulangi Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan dan tidak mendedahkan sebarang pandangan yang bertentangan dengan peruntukan itu (Perkara 145 (2)).

Hanipah memerintahkan Khairuddin membayar kos RM10,000 kepada Idrus.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, Low mengemukakan bantahan awal dengan mengatakan bahawa perkara itu tidak lagi relevan dan mahkamah tidak sepatutnya mendengar rayuan Khairuddin itu.

Low berkata, asas fakta semakan kehakiman Khairuddin tidak lagi wujud kerana Muhyiddin telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos tahun lalu dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob dilantik sebagai Perdana Menteri baharu lima hari kemudian.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin berhujah bahawa rayuan itu masih relevan dan perisytiharan yang diminta adalah berkaitan tugas Peguam Negara.

Khairuddin memfailkan permohonan dalam usaha mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada Februari tahun lalu, memohon beberapa perintah pengisytiharan termasuk pengisytiharan bahawa tindakan Idrus mengiringi Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari tahun lalu untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat adalah tidak sah kerana bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat sokongan majoriti.

Beliau menamakan Idrus sebagai responden dalam semakan kehakiman itu.

Khairuddin juga memohon perintah mandamus untuk mengarahkan Idrus menasihati Muhyiddin supaya menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya.

Beliau mendakwa Ahli Parlimen Machang Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Nazri Aziz, kedua-duanya daripada Umno, telah menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin masing-masing pada 9 dan 12 Januari tahun lalu, yang bermakna Muhyiddin tidak lagi mendapat sokongan majoriti di Parlimen.

Kegagalan Peguam Negara melaksanakan tugasnya, dakwa Khairuddin, adalah menyalahi undang-undang dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Pada April tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairuddin untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman atas alasan Khairuddin tidak mempunyai locus standi untuk semakan kehakiman terhadap Irdus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 3:49 PM