TUAN Ibrahim  (tengah) mendengar penerangan daripada Ketua Operasi Wilayah Utara dan Pantai Timur IWK Sdn Bhd, Hussain Omar mengenai penyelenggaraan tangki kumbahan di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji. FOTO Siti Rohana Idris.
TUAN Ibrahim (tengah) mendengar penerangan daripada Ketua Operasi Wilayah Utara dan Pantai Timur IWK Sdn Bhd, Hussain Omar mengenai penyelenggaraan tangki kumbahan di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji. FOTO Siti Rohana Idris.
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Masalah banjir termenung yang melanda di beberapa lokasi di negeri ini akan diatasi secepat mungkin dengan penggunaan pam bergerak.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya sudah meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membekalkan beberapa unit pam bergerak untuk ditempatkan di semua lokasi yang mengalami situasi banjir termenung.

"Saya sudah minta supaya (pihak) JPS untuk bekalkan pam bergerak di kawasan yang mengalami masalah banjir termenung.

"Perkara itu sedang dalam tindakan dan kita faham ia memang mengambil masa untuk surut sepenuhnya.

"Kerajaan juga sudah memutuskan untuk mewujudkan sistem pam paip di kawasan yang biasa berlaku menyebabkan air termenung yang akan diselenggarakan pada sistem pintu air atau pam yang sistematik," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, dari segi ganti rugi, mangsa banjir tidak perlu bimbang kerana kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat yang mana bantuan wang ihsan tetap diberikan.

Beliau berkata, bantuan berjumlah RM1,000 akan diterima mangsa banjir di negeri ini dan ia bukan hanya diterima oleh penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) tapi juga yang berlindung di lokasi selamat lain.

"Bagi yang berpindah ke lokasi lain selain PPS, boleh berhubung dengan pemimpin setempat untuk memastikan mereka turut tersenarai dalam senarai penerima bantuan," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan dan menyerahkan projek menambah baik fasiliti tandas di rumah ibadat di Madrasah Haji Junoh, Kampung Paya Keranji, di sini.

Dalam perkembangan lain, Tuan Ibrahim berkata, pihaknya sudah membuat permohonan sebanyak RM16 juta kepada kementerian berkaitan bagi tujuan menyelenggara pintu kawalan pasang surut air termasuk di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin- Semerak.

Beliau berkata, masalah itu perlu diselesaikan dengan segera kerana impak yang diterima pesawah sangat besar akibat kemusnahan tanaman padi yang berlaku disebabkan banjir luar jangka.

"Saya sendiri sudah turun ke IADA dan mendapati daripada 10 pintu air, ada tiga sahaja yang berfungsi.

"Permohonan sudah diangkat kepada kementerian berkaitan iaitu sebanyak RM16 juta termasuk ada beberapa lagi untuk pintu air lain kerana jika ia tidak diselenggara dengan baik, ia mendatangkan impak besar kepada pesawah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 7:28 PM