Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Polis membongkar kegiatan mengedar dadah berselindung di sebalik kedai telefon di Larkin di sini, Khamis lalu yang menyaksikan pelbagai jenis dadah dirampas dan sitaan bernilai hampir RM1 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kedai berkenaan yang dilengkapi empat bilik itu turut dijadikan sebagai stor menyimpan barangan larangan itu bagi menampung bekalan kira-kira 43,295 penagih dadah.

Beliau berkata, dadah yang dirampas dalam serbuan itu membabitkan 1.7 kilogram pil ekstasi, 1.35 kilogram ketamin dan tujuh kilogram pil erimin 5 bernilai RM746,890.

"Dua lelaki tempatan yang berusia 31 dan 34 tahun ditahan dan siasatan awal mendapati kedai telefon bimbit itu digunakan sebagai stor penyimpanan dadah.

"Polis turut merampas dua kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM37,900 serta mata wang Singapura berjumlah RM16,340," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kamarul Zaman berkata, semakan rekod lampau mendapati kedua-dua suspek berkenaan memiliki rekod berkaitan dadah.

"Polis masih mengesan ahli sindiket pengedaran dadah itu selain menjalankan siasatan bagi mengenal pasti dari mana bekalan diperolehi.

"Suspek direman enam hari hingga 9 Mac in bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 4:17 PM
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan antara rampasan dadah di sebuah kedai telefon di bandar raya Johor Bahru di sini. FOTO Mary Victoria Dass
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat menunjukkan antara rampasan dadah di sebuah kedai telefon di bandar raya Johor Bahru di sini. FOTO Mary Victoria Dass