Baharom Bakar


Kuala Berang: Bunyi dentuman kuat seolah-olah ada objek keras terkandas dan menghempap dinding selepas empat jam hujan lebat diibaratkan tsunami melanda penempatan masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Berua, di sini, Ahad lalu.

Tok batin, Rosli Desoh, 47, menganggap banjir yang melanda perkampungan itu adalah terburuk dalam tempoh 35 tahun lalu.

Katanya, hujan lebat mula melanda kawasan penempatan itu kira-kira jam 2 pagi Ahad lalu.

"Selang setengah jam selepas itu, kami dikejutkan bunyi dentuman kuat seperti runtuhan bukit di bahagian belakang perkampungan.

"Kami ternampak arus deras mengalir seolah-olah tsunami sedang melanda perkampungan kami," katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Berua, di sini, hari ini.

Rosli ditemui ketika mengetuai kira-kira 50 masyarakat orang asli menyertai gotong royong membersih SK Sungai Berua pada program pasca banjir hari kedua, hari ini.

SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli menyertai gotong royong membersih SK Sungai Berua, Kuala Berang, hari ini. FOTO Baharom Bakar.
SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli menyertai gotong royong membersih SK Sungai Berua, Kuala Berang, hari ini. FOTO Baharom Bakar.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, dia mengarahkan kira-kira 94 ketua keluarga yang tinggal di perkampungan itu membawa isteri dan anak-anak menyelamatkan diri dan naik ke atas bukit berhampiran sekolah.

"Ketika berada di atas bukit, kami melihat seolah-olah ombak besar berlaku manakala air melimpahi sungai dan menenggelamkan sebahagian bangunan dan kawasan sekolah dibadai kepala air, kira-kira jam 4 pagi.

"Kami juga terdengar seperti ada objek keras sedang menghentam dinding bangunan sekolah," katanya.

Berikutan kejadian itu, katanya, tiga kediaman penduduk ditenggelami air, manakala pelbagai perkakas rumah seperti peti ais, televisyen dan perabot musnah.

"Pada pagi Ahad, kami dapati bangunan dan kawasan sekolah ditenggelami air sedalam 3.05 meter.

"Rupa-rupanya bunyi seperti objek keras menghentam dinding sekolah adalah kayu, batang kelapa sawit dan sisa hutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 11:49 AM