PASUKAN penyelamat bersama penduduk kampung melakukan SAR mengesan dua lelaki dikhuatiri lemas. FOTO ihsan bomba
PASUKAN penyelamat bersama penduduk kampung melakukan SAR mengesan dua lelaki dikhuatiri lemas. FOTO ihsan bomba
Juwan Riduan


Kudat: Dua lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka dipercayai karam di perairan laut Perapat Tugu Mamal, di sini, petang semalam.

Dua mangsa yang hilang dikenali sebagai Aewaeinder dan Macklin berusia 20 dan 28 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan terdapat sebuah bot karam ketika melakukan aktiviti memukat di laut pada 6.04 petang.

Katanya, pemanggil memaklumkan terdapat dua mangsa dikhuatiri lemas.

"Enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikerah ke tempat kejadian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dengan kaedah 'surface rescue'.

"Sehingga 11 malam tadi, mangsa belum ditemui," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, operasi SAR ditangguh dan akan disambung pagi ini.

Operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan penduduk kampung.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 12:17 AM