MUHAMMAD Aydeen yang patah tulang kaki kiri ditemui di rumahnya di Jalan Bandar Utama, di sini. FOTO Izad Thaqif Hassan
MUHAMMAD Aydeen yang patah tulang kaki kiri ditemui di rumahnya di Jalan Bandar Utama, di sini. FOTO Izad Thaqif Hassan
Izad Thaqif Hassan


Sungai Petani: Sejak usianya enam bulan, dia hanya bergerak menggunakan lutut berikutan tulang kaki kirinya patah kerana tersepit brek tangan ketika menaiki kereta bersama bapa dan abangnya.

Kejadian itu menyebabkan pergerakan Muhammad Aydeen Zafar Zulkifli yang kini berusia tiga tahun terbatas berbanding kanak-kanak sebayanya.

Ibunya, Nur Atikah Mohd Noor, 32, berkata bermula dengan insiden itu, anak bongsu daripada tiga beradik dikenali sebagai Aydeen dikesan mengalami masalah tulang rapuh selain tulang belakang bengkok ketika mendapatkan rawatan selepas dirujuk ke Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC).

Menurutnya, ketika itu doktor pakar merawat memaklumkan tulang kaki anaknya itu mempunyai selaput sudah mati dan bahagian yang patah itu sudah tidak bercantum.

"Pakar yang merawat memberitahu selaput yang sudah mati itu perlu dikikis dan kemudian akan ditanam tulang pinggul untuk melihat sama ada ia boleh tumbuh dengan elok atau sebaliknya.

"Namun, semua proses itu akan mengambil masa yang lama dan kos rawatan yang dikenakan adalah sebanyak RM20,000," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bandar Utama, di sini.

Menurutnya, dia dan suami Zulkifli Rohim, 43, ketika itu buntu memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi menanggung kos rawatan anak mereka kerana pendapatan suaminya sebagai operator kilang tidak mencukupi.

"Ketika itu, suami terpaksa melakukan kerja menjual ketam selepas selesai kerja kilang kerana mahu mencari pendapatan sampingan menampung kos perubatan anak.

"Saya pula tidak bekerja kerana perlu menjaga dan menguruskan dua lagi anak lelaki yang berusia 11 dan sembilan tahun," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila ada satu pertubuhan amal yang sudi menghulurkan bantuan mempercepat dan memudahkan proses rawatan buat anaknya.

"Buat masa ini, saya dan suami tidak perlu ke UMSC kerana kes anak sudah dirujuk kepada pakar di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini dan Hospital Kepala Batas Pulau Pinang.

"Jika tidak, kami perlu mengeluarkan modal yang banyak untuk berulang alik ke UMSC selain mencari wang untuk kos pembedahan anak," katanya yang berterima kasih kepada pihak pertubuhan amal terbabit.

Menurutnya, Aydeen akan menjalani ujian Imbasan Pengimejan Resonas Magnetik (MRI) esok di HSAH dan tarikh pembedahan hanya akan diketahui selepas keputusan ujian terbabit diperoleh.

"Saya dimaklumkan yang doktor akan memotong tulang kaki anak yang mati dan akan mengambil tulang kaki kanannya untuk membuat implan.

"Doktor juga memberitahu yang anak mungkin perlu menjalani beberapa pembedahan susulan sehingga usianya 18 tahun bergantung kepada perkembangan tulangnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mac 2022 @ 3:23 PM