PELAJAR SMA Mahmudiah dipindahkan menggunakan bot selepas asrama sekolah dinaiki air. FOTO ihsan SMA Mahmudiah
PELAJAR SMA Mahmudiah dipindahkan menggunakan bot selepas asrama sekolah dinaiki air. FOTO ihsan SMA Mahmudiah
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Seramai 131 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Agama Mahmudiah (SMA Mahmudiah) Kuala Berang yang menginap di asrama terpaksa dipindahkan menggunakan bot selepas sekolah dinaiki air lebih dua meter hari ini.

Pengetua SMA Mahmudiah, Mazelin Ali berkata, calon SPM itu dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Majlis Daerah Kuala Berang, Hulu Terengganu bermula jam 4 petang hari ini menggunakan bot anggota penyelamat.

Beliau berkata, langkah segera itu terpaksa dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar selain persediaan dan keselesaan menjelang peperiksaan yang bakal bermula Rabu ini.

"Daripada jumlah itu, seramai 51 pelajar lelaki dan selebihnya perempuan terpaksa menggunakan beberapa bot anggota penyelamat secara bergilir untuk memindahkan mereka ke tempat lebih selamat kerana air semakin naik sehingga hampir satu tingkat bangunan sekolah.

"Jika mereka tidak dipindahkan segera kami khuatir air semakin naik ke beberapa blok lagi, kini asrama perempuan, dewan makan dan blok kelas sudah dinaiki air banjir.

"Apabila calon SPM ini dipindahkan, tahap keselamatan mereka lebih terjamin, begitu juga daripada segi emosi mereka kerana peperiksaan hanya berbaki dua hari saja lagi," katanya.

Beliau berkata, air mula memasuki kawasan sekolah sejak semalam lagi, bagaimanapun keadaan banjir ketika itu masih terkawal dan tidak begitu membimbangkan pelajar.

"Lagipun sebelum ini tidak pernah berlaku penghuni asrama dipindahkan, ini kali pertama dan sejarah buat mereka, sebelum ini banjir tidak begitu besar.

"Namun mulai jam 11 lebih pagi tadi, air semakin naik secara mendadak selama empat jam menyebabkan kami tiada pilihan lain kecuali membuat keputusan memindahkan pelajar ke kawasan lebih selamat," katanya yang turut memaklumkan calon SPM dari Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Kuala Berang dan pelajar Madrasah Moden Hulu Terengganu turut dipindahkan menggunakan bot.

Sementara itu, calon SPM SMA Mahmudiah, Muhammad Hamizan Mamat, 18, berkata, dia melihat situasi banjir itu sebagai ujian kepadanya dan rakannya ketika peperiksaan semakin hampir.

"Mungkin ini ujian buat kami pelajar Tingkatan Lima 2021 diuji dengan pelbagai ujian bermula wabak pandemik Covid-19.

"Kini berbaki dua hari lagi sebelum peperiksaan SPM, Allah uji lagi kami dengan banjir, inilah ujian terbesar buat kami, kami berdoa semoga ada hikmah di sebalik ujian ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Februari 2022 @ 8:30 PM