Kesemua tujuh calon DUN Kempas selepas menghantar borang penamaan calon di PPC di Dewan Kompleks Perumahan TNB Kempas, Johor Bahru hari ini. Foto Mary Victoria Dass
Kesemua tujuh calon DUN Kempas selepas menghantar borang penamaan calon di PPC di Dewan Kompleks Perumahan TNB Kempas, Johor Bahru hari ini. Foto Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Buat kali pertama, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas menyaksikan persaingan tujuh penjuru termasuk penyertaan tiga calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Antara yang disahkan pencalonannya adalah Nornekman Osman daripada Pejuang yang juga anak sulung kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas dan Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian, Ketua Wanita PKR Johor Napsiah Khamis Maharan.

Calon lain termasuklah Timbalan Ketua Umno Bahagian Pulai Datuk Ramlee Bohani yang mewakili Barisan Nasional (BN), manakala Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan Nur Faizal Abdullah sebagai calonnya selain tiga calon bebas, Mohd Azwan Abd Rahman, Hambali Munadi dan Mohd Suhimi A Rahman.

Calon paling awal tiba ke Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Kompleks Perumahan TNB Kempas adalah Nur Faizal pada 8 pagi diikuti Mohd Azwan, Hambali, Ramlee, Napsiah, Nornekman dan Mohd Suhimi yang tiba pada 9.40 pagi.

Proses penamaan calon berlangsung dalam suasana normal baharu bermula 9 pagi sebelum ditutup pada 10 pagi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat persiapan rapi termasuk daripada segi prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) hanya menyaksikan pertembungan tiga penjuru.

Osman diberi mandat menjadi wakil rakyat selepas memenangi kerusi itu dengan majoriti 9,178 selepas menewaskan Ramlee Bohani (BN) dan calon Pas, DZulkifli Suleiman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 10:33 AM