Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Kuala Krai memindahkan mangsa banjir di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai, malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) daerah Kuala Krai memindahkan mangsa banjir di Kampung Sungai Durian, Kuala Krai, malam tadi. FOTO IHSAN BOMBA
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Empat daerah di Kelantan dilanda banjir dan menyebabkan 881 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga 8 pagi ini.

Antara daerah yang dilanda banjir ialah Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas, yang sudah membuka 21 PPS.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), empat PPS dibuka di Kuala Krai, lapan di Tanah Merah, lapan di Jeli dan satu di Pasir Mas.

Kesemua mangsa yang dipindahkan itu daripada 242 keluarga iaitu membabitkan 294 lelaki dewasa, 304 wanita dewasa, 262 kanak-kanak dan 21 bayi.

Jumlah mangsa banjir di Jeli paling ramai iaitu 535 mangsa, diikuti Tanah Merah seramai 192, Kuala Krai (136 mangsa) dan Pasir Mas 18 orang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata, kebanyakan mangsa berpindah awal ke PPS, dan pihaknya membantu mereka yang terperangkap di lokasi yang sukar dan air deras.

Katanya, penduduk mengambil inisiatif berpindah awal selepas melihat paras air meningkat di kediaman mereka.

"Kita bersama pasukan keselamatan yang lain sentiasa membuat pemantauan memandangkan jumlah mangsa di Jeli lebih ramai berbanding daerah yang lain.

"Kita sentiasa memberi peringatan kepada penduduk supaya sentiasa bersedia dan berpindah awal ke tempat yang selamat untuk mengelakkan mereka terperangkap di rumah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 9:25 AM