Nurul Hidayah Bahaudin dan Ruwaida Md Zain


Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan di 20 kawasan bangunan di sekitar ibu kota hari ini, susulan gegaran dirasai akibat gemba bumi yang melanda utara Sumatera, Indonesia.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan bermula 9.45 pagi.

"Pusat Gerakan Operasi kemudian menghubungi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian itu.

"Metmalaysia memaklumkan kejadian itu berlaku akibat gempa bumi yang berlaku di utara Sumatera yang menyebabkan kesan gegaran terbabit turut dirasai di Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, Pusat Gerakan Operasi kemudiannya mengarahkan anggota bertugas di balai bomba sekitar ibu kota ke lokasi panggilan kecemasan diterima bagi membuat pemantauan dan memastikan penghuni bangunan berada dalam keadaan selamat.

Katanya, antara lokasi berkenaan adalah Blok 15 Perumahan Polis, bangunan Soho, Wisma BSN, Menara Glomac, bangunan MMA, Hotel Perdana KL City Centre, Axiata Tower, Jalan Diamond Square dan Plaza OSK.

"Selain itu, kami turut menerima panggilan kecemasan di Flat Pudu Impian 1, Wisma Chubb, Menara Am Bank, Plaza See Hoy Chan, Wisma Zelan, Sekoya Residence, Blok 57 Apartment Pantai Indah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Solaris Mont Kiara dan Menara Maybank," katanya.

Menurutnya, pihak bomba tidak menerima sebarang panggilan kecemasan yang membabitkan kerosakan struktur dan kecederaan penghuni bangunan.

ORANG ramai keluar dari bangunan Lembaga Getah Malaysia berikutan terdapat gegaran yang dirasai di sekitar Kuala Lumpur hari ini susulan gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada pukul 9.39 pagi tadi. FOTO BERNAMA
ORANG ramai keluar dari bangunan Lembaga Getah Malaysia berikutan terdapat gegaran yang dirasai di sekitar Kuala Lumpur hari ini susulan gempa bumi berukuran 6.1 skala Richter melanda utara Sumatera, Indonesia pada pukul 9.39 pagi tadi. FOTO BERNAMA

Sementara itu, JBPM Selangor menerima 14 laporan gegaran di beberapa lokasi di negeri itu.

Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, panggilan pertama diterima pada jam 9.48 pagi oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting di membabitkan gegaran berlaku di Mahkamah Telok Datok.

"Kes kedua diterima oleh BBP Puchong juga pada 9.48 pagi membabitkan gegaran di Taman Perindustrian Sime UEP, manakala BBP Penchala menerima panggilan dari Jalan Zamrud PJS 5/27 Taman Medan.

"BBP Kajang menerima panggilan dari Jalan Zamrud 1 juga pada 9.48 pagi, manakala BBP Subang Jaya menerima dua laporan dari lokasi USJ 10/1 lokasi PJ Hilton.

"BBP Shah Alam menerima laporan dari lokasi Jalan Cangkut 19/3 dan sekitar Taman Sri Muda, manakala BBP Kota Anggerik menerima laporan dari Seksyen U8, U1 & U2 dan BBP Sungai Pinang menerima panggilan dari SK Jalan Meru.

"BBP Cyberjaya menerima panggilan dari lokasi Jalan Impact, BBP Rawang pula dari Taman Tun Teja, BBP Damansara menerima panggilan dari Jalan TG Bandar Utama 8, BBP Sepang pula di Bagan Lalang dan BBP KLIA dari Pejabat Korporat Malaysia Airport Berhad," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 11:33 AM