FOTO hiasan
FOTO hiasan
Siti Haliza Yusop


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan (buruk dan waspada) untuk beberapa negeri di Semenanjung Malaysia berkuatkuasa sehingga esok.

Amaran berkenaan dikeluarkan meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka.

Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, sistem cuaca tekanan rendah kini berada di kedudukan 5.13°U 107.05°T di Laut China Selatan dan dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu petang ini sebelum bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung.

"Keadaan ini boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Februari.

"Ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem ini untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

"Orang awam di kawasan terbabit dinasihatkan lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Maklumat lanjut mengenai cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Februari 2022 @ 10:09 AM